suria

Mualaf Teruskan Tradisi Sambut Tahun Baharu Cina Bersama Keluarga

Naib Pengerusi PEMADAM negeri, Prof Madya Dr Richard Ng (kanan) menyampaikan 'Ang Pow' kepada anak-anak Firdaus Simon Abdullah, yang merupakan anggota jawatan kuasa Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) selepas tradisi jamuan ‘makan besar’ pada malam menjelang Tahun Baru Cina di kediaman Firdaus di Taman Silibin, Ahad malam. Foto: Bernama

IPOH: Walaupun sudah memeluk agama Islam, ia tidak menghalang seorang saudara baharu meneruskan tradisi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga tercinta pada setiap tahun.

Firdaus Simon Abdullah, 44, berkata ikatan kekeluargaan tidak pernah putus walaupun beliau memeluk Islam sejak 16 tahun lepas dan sentiasa menghadiri tradisi menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.

Katanya setiap tahun beliau dan isteri, Nor Hayati Nordin, 48, serta empat anak mereka akan berkumpul bersama-sama anggota keluarga serta sanak saudara di kediamannya pada malam makan besar sehari sebelum perayaan itu.

"Saya tetap menyambut Tahun Baharu Cina selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Kami dapat berkumpul kerana jarang berjumpa selain dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan," katanya kepada pemberita di kediamannyadi Taman Silibin di sini, Ahad malam.    

Ibu Firdaus, Lee Wei Heng, 68, berkata walaupun berlainan agama, mereka tetap menyambut perayaan itu bersama-sama anggota keluarga yang lain.

Pada mulanya saya dan mendiang suami agak sukar untuk menerima keputusan anak menukar agama. Namun, lama kelamaan kami dapat menerima hakikat dan sekarang ikatan kekeluargaan bertambah erat," katanya.

Dalam pada itu, Nor Hayati berkata atas permintaan ibu mentuanya, beliau akan memasak ayam masak merah sebagai menu wajib pada malam makan besar.

"Selain itu, saya juga akan masak hidangan tradisi Cina seperti ayam masak stim, sup cendawan serta sayur goreng," katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Firdaus sejak 15 tahun lepas.

Azizah Abdul Rahman, 58, yang memeluk Islam pada usia 22 tahun, pula berkata beliau tidak pernah terlepas daripada menyambut Tahun Baharu Cina bersama anggota keluarganya.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu berkata walaupun sudah memeluk Islam,ikatan kekeluargaan tidak pernah terputus, malah tetap utuh dan terjalin rapat sehingga hari ini.

"Saya akan memasak pelbagai hidangan pada malam makan besar antaranya sup teratai, ayam taugeh serta itik masak halia. Malah, anak-anak saya juga memang suka makanan Cina," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim (MACMA) Ipoh Mohd Hafiz Ng, 50, berkata terdapat 1,500 orang mualaf di bandar raya ini.

Beliau yang juga Pegawai Mubaligh Jabatan Agama Islam Perak berkata kaumTionghua yang bukan beragama Islam juga akan meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada majlis rumah terbuka anjurannya.

"Mereka sudah mula memahami tentang Islam dan dapat membezakan antara budaya dan agama," katanya yang memeluk Islam sejak 30 tahun lepas.

Persatuan MACMA Cawangan Ipoh yang ditubuhkan pada Julai 2007 bertujuan membantu dan memberi pendidikan agama Islam kepada saudara baharu dan juga sesiapa yang ingin mendalami agama itu. -Bernama

Tahun Baharu Cina

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain