suria

Ikan Paus Terdampar Di Pontian

PONTIAN: Penduduk Rambah dekat sini gempar dengan kehadiran seekor ikan paus di tepi pantai Taman Rekreasi Pantai Rambah petang Isnin.

Kehadiran ikan paus sepanjang kira-kira 20 meter (40 kaki) dan seberat tiga tan itu dikatakan berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi Isnin dan telah menarik perhatian pengunjung di situ yang membawa keluarga mereka beriadah sempena cuti Tahun Baru Cina.

Komander Operasi dari Balai Bomba Pontian Baru, Jumaat Sailan berkata, pihaknya mendapat panggilan mengenai perkara itu dari orang awam pada pukul 1.15 tengah hari.

"Kami dapati ikan paus itu tidak dapat bergerak kerana tersangkut disebabkan air surut. Kemungkinan paus itu sesat setelah mengikut arus air pasang," katanya.

Beliau berkata, dengan bantuan orang ramai dan anggota bomba, ikan paus itu kemudiannya diikat kepada bot nelayan untuk ditarik ke tengah laut.

"Ini merupakan kali pertama kes ikan paus dilaporkan terdampar di Pontian," kata Jumaat.

Seorang nelayan Ariss Karim, 54, berkata, ikan paus itu dilihat berlegar-legar di tengah laut berdekatan pantai sejak awal pagi Isnin.

"Ikan paus itu mungkin mengikut arus sehingga terdampar ke tepi pantai. Pada sebelah pagi tadi, fenomena air pasang berlaku.

"Ini kali pertama saya melihat ikan paus di kawasan pantai di sini. Memang pelik kerana ikan sebegini hanya boleh ditemui di kawasan beriklim sejuk," katanya. - Bernama

Artikel Lain