suria

Duta Arab Saudi Puji Malaysia

Fahad Abdullah Al-Rashid

KUALA LUMPUR: Kejayaan pihak berkuasa baru-baru ini dalam menahan suspek pengganas dan penyokong Daesh, mendapat pujian Duta Arab Saudi Fahad Abdullah Al-Rashid, yang berpendapat bahawa dalam hal ini, Malaysia boleh menyumbang kepada Pakatan 34 negara Islam memerangi keganasan yang diterajui Arab Saudi.

Duta di Malaysia itu berkata Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang penting dan maju bukan sahaja daripada aspek ketenteraan tetapi juga risikan.

"Kekuatan Malaysia dalam unit risikannya sangat dialu-alukan dalam pakatan ini," katanya kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Bercakap menerusi seorang jurubahasa, Al-Rashid berkata setiap anggota pakatan akan mengambil bahagian dan memberi sumbangan dalam pelbagai cara, bergantung kepada keupayaan serta kepakaran setiap negara.

Pada Disember tahun lepas, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, memberitahu media bahawa penyertaan Malaysia dalam pakatan itu terhad kepada perkongsian maklumat dan bukannya operasi ketenteraan.

Al-Rashid berkata bilik operasi di Riyadh, Arab Saudi akan membantu menghapuskan sebarang kekangan yang mungkin wujud di kalangan negara anggota, antaranya faktor jarak dan logistik.

Menurut perancangan awal, setiap negara akan mempunyai wakil di Riyadh bagi memudahkan komunikasi.

Pakatan itu, yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan Arab Saudi Mohammad Salman Al Saud pada Disember tahun lepas, turut dianggotai Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu, Turki, Pakistan dan Afrika.

Dalam perkembangan lain, duta itu berkata penggunaan Daesh bagi mengenal pasti kumpulan pengganas, yang juga dikenali sebagai kumpulan militan Islamic State (IS), tidak membantu dalam mengasingkan kumpulan itu daripada agama Islam.

"Ia seperti sekeping duit syiling, dengan mempunyai dua muka. Tak kisahlah apa yang anda panggil, mereka tetap satu dan sama.

"Apa yang lebih penting adalah umat Islam berusaha bersama-sama memerangi untuk menunjukkan bahawa kita tidak bersetuju dengan kumpulan ini dan ia dapat dilakukan menerusi pakatan 34 negara," katanya.

Ditanya tentang kuota haji bagi Malaysia, Al-Rashid berkata Arab Saudi terbuka kepada perbincangan berkaitan perkara itu setelah siapnya projek pembesaran kawasan persekitaran Kaabah, yang dijangka selesai sebelum musim haji akan datang.

Duta itu juga berkata kerajaan Arab Saudi, terutamanya Raja Salman Abdulaziz Al Saud, amat mengambil berat dalam memastikan keselamatan jemaah bagi mengelak daripada berulangnya insiden rempuhan dan kren tumbang tahun lepas.

"Semua projek yang sedang berlangsung adalah untuk keselesaan jemaah. Jika ada mana-mana pihak yang meragui keseriusan kami dalam hal berkaitan keselamatan dan keselesaan jemaah, ia adalah tidak berasas sama sekali," katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja kedua-dua insiden itu berlaku, kerajaan Arab Saudi menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat perkara itu.

Ditanya perkembangan terkini di Syria dan Yaman berkaitan perlarian, Al-Rashid berkata pada masa ini terdapat lebih 2.5 juta pelarian dari kedua-dua negara itu di Arab Saudi dan mereka turut diberi kemudahan pendidikan serta perubatan.

Kerajaan Arab Saudi turut memperuntukkan US$700 juta (RM2.9 juta) tahun lepas bagi bantuan pelarian dan kemanusiaan, katanya..

Ditanya tentang hubungan Iran-Arab Saudi berikutan serangan ke atas kedutaan serta pejabat konsul Arab Saudi di Iran, duta itu berkata hubungan dua hala itu sentiasa ada pasang surut.

Kejadian yang berlaku baru-baru ini membuatkan hubungan kembali tegang, katanya.

Kedutaan dan pejabat konsul Arab Saudi di Iran diserang awal tahun ini selepas ulama Syiah Nimr al-Nimr dihukum pancung oleh Arab Saudi berhubung dakwaan keganasan.

Susulan serangan itu, Arab Saudi dan beberapa sekutu memutuskan hubungan dengan Iran.

Arab Saudi

Artikel Sebelum

Artikel Lain