suria

Tak Perlu Berbilion Untuk Menang Pilihan Raya - Dr M

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak percaya sumbangan politik RM2.6 bilion  yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah untuk kegunaan pilihan raya.

Beliau juga tidak menerima dakwaan sesetengah pihak bahawa wang itu merupakan sumbangan kepada Perdana Menteri bagi menentang Negara Islam (IS).

"Dakwaan sesetengah pihak bahawa AS$700mil (RM2.6bil)  untuk menentang IS  tidak boleh dipercayai kerana Najib secara terbuka mendakwa ia adalah untuk kegunaan Umno memenangi pilihan raya 2013.

"Untuk menang pilihan raya tidak memerlukan berbilion ringgit," kata Dr Mahathir dalam entri terbaharu di blognya, chedet.cc pada Rabu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Peguam Negara (AG) Tan Sri Apandi Ali yang menegaskan Najib tidak melakukan sebarang salahlaku berkaitan RM2.6 bil, gagal membuktikan bahawa sumbangan itu daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau berkata, orang awam tetap percaya sumbangan itu adalah daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tambahnya keputusan AG yang menolak hasil siasatan Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengukuhkan lagi kepercayaan itu.

"Tidak ada keterangan yang jelas bagaimana jumlah besar itu dipindahkan ke akaun Najib, dan bank-bank untuk sumber dana serta urusan penderma digunakan oleh orang Arab.

"Pihak berkuasa Saudi telah pun mengisytiharkan bahawa tidak ada rekod (Allahyarham) Raja (Abdullah) memberikan apa-apa wang kepada Najib," katanya.

Dr Mahathir menegaskan walaupun Arab Saudi diketahui selalu membuat sumbangan besar kepada negara-negara lain seperti di Bahrain dan Jordan, ianya adalah urusan antara kerajaan dengan kerajaan dan bukan hadiah peribadi kepada individu.

Beliau juga menuduh Peguam Negara tidak mahu rakan sejawatannya dari Swiss mengetahui sama ada wang dalam akaun Najib adalah dari 1MDB, berikutan permintaan kedua bagi bantuan bersama dalam siasatan mengenai dakwaan penyelewengan dana berjumlah AS$4 bilion (RM16.9bil ).

Beliau berkata, kandungan laporan Bank Negara dan SPRM adalah hasil daripada siasatan serius serta mempersoalkan jika Apandi akan mengemukakan penemuan ini kepada Swiss AG bagi membuat penilaian sendiri mengenai dakwaan penipuan AS$4 bilion terhadap 1MDB.

"AG sudah memberi amaran bahawa 'apa-apa percubaan oleh organisasi media untuk menggabungkan kedua-dua kes siasatan adalah tidak bertanggungjawab dan prejudis'.

"Jelas sekali, AG tidak mahu Swiss AG tahu sama ada wang dalam akaun peribadi Perdana Menteri dari 1MDB atau tidak," tambah Dr Mahathir.

Artikel Lain