suria

Najib Mahu Semua Bersatu Pastikan Sarawak Kekal Di Bawah BN

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak termasuk pucuk pimpinan hingga ke akar umbi teguh bersatu bagi mempastikan Sarawak kekal di bawah Barisan Nasional (BN).

Katanya, cita-cita atau sebarang kepentingan peribadi tidak seharusnya menjadi batu penghalang kepada kejayaan BN untuk terus menerajui serta membela nasib rakyat Bumi Kenyalang.

"Tidak lama lagi kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak. Saya mahukan semua pihak, dari pucuk pimpinan parti hinggalah ke peringkat akar umbi, untuk kekal bersatu dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang terutama.

"Ayuh rapatkan saf, teguhkan perpaduan dan kita pastikan Sarawak kekal biru di bawah lembayung BN," katanya dalam catatan menerusi blognya NajibRazak.com.

Menerusi catatannya itu, Najib turut berkongsi pengalaman sepanjang lawatan kerja dua harinya ke Sarawak dan menzahirkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memacu pertumbuhan negeri itu setaraf dengan kemajuan di Semenanjung. 

"Projek-projek besar berpaksikan rakyat seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, Jambatan Batang Sadong, penambahbaikan infrastruktur terutamanya institusi pengajian yang telah usang dan sebagainya, telah pun dimulakan dan akan terus dirancang bagi memastikan rakyat Sarawak kekal seiring bersama arus pemodenan negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, Sarawak mempunyai potensi amat besar, dengan kombinasi tepat, dari segi sumber hasil bumi, tenaga kerja, semangat jitu rakyat dan kepimpinan berkaliber beliau yakin negeri itu dapat mencapai potensi tersebut.

Mengenai beberapa perkara dibangkitkan kerajaan negeri berkaitan penurunan kuasa, perdana menteri berkata perbincangan mengenainya berlangsung dalam suasana positif.

"Insya-Allah, proses ini, walaupun mengambil masa, adalah untuk kebaikan masa depan Sarawak dan penduduknya," tambah beliau.

Najib turut menyentuh mengenai kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang pada pengamatannya dapat diterima penduduk di negeri itu sama ada di bandar mahupun pendalaman.

"Tan Sri (Adenan) seorang pemimpin yang memahami dengan mendalam kemahuan dan keperluan masyarakat tempatan. Beginilah pemimpin yang kita mahukan, yang rakyat perlukan.

"Tan Sri juga tidak pernah segan silu untuk menyuarakan pendapat dan cadangan beliau bagi rakyat dan kerajaan negeri Sarawak kepada kerajaan Persekutuan," katanya.

Justeru, Najib berkata, beliau dan Ketua Menteri akan meneruskan usaha dengan perancangan rapi bagi mempastikan Bumi Kenyalang menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara saksama.

"Tidak kira sama ada di pedalaman atau di bandar, tidak ada sesiapa yang akan diabaikan dan ketinggalan dalam pentadbiran saya," kata Najib. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain