suria

Kerja Pembinaan, Penyelenggaraan Lebuh Raya Dihenti 14 Hari

SEREMBAN: Sempena Tahun Baharu Cina, Kementerian Kerja Raya mengeluarkan arahan 'henti kerja' di lebuh raya utama selama 14 hari bermula Isnin.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia sebagai langkah mengurangkan kesesakan di lebuh raya yang disebabkan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan.

"Namun ia dikecualikan bagi kerja-kerja kritikal," katanya dalam majlis Penyempurnaan Perlampuan di sepanjang Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Dalam teks ucapannya, Fadillah juga berkata, pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan selama empat hari.

"Ia bermula iaitu pada 6 dan 7 Februari manakala 13 dan 14 Februari kerana dijangka berlaku peningkatan trafik pada hari tersebut.

"Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSLKM) akan mengambil inisiatif lain antaranya mengaktifkan laluan kontra di beberapa lokasi lebuh raya yang sesak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia," katanya.

Selain itu, PSLKM juga akan menyediakan nasihat jadual perjalanan untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), katanya.

Sementara itu, syarikat konsesi IJM turut mengumumkan pemberian 'ang pow' iaitu diskaun tol dan pemberian kad Touch 'n Go' di lebuh raya kendaliannya. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain