suria

Hari Ini Giliran Adun Pembangkang Menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi Bernama malam Isnin mengesahkan telah dimaklumkan untuk mengadap Anggota Jemaah itu pada pukul 2.30 petang Selasa di Wisma Darul Aman.
ALOR SETAR: Hari ini (Selasa), giliran 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menghadap Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah dipercayai berkaitan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar.

Pada Isnin, 20 Adun Barisan Nasional (BN) telahpun menghadap Anggota Jemaah Pemangku Sultan.

Adun Pengkalan Kundor Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi Bernama malam Isnin mengesahkan telah dimaklumkan untuk mengadap Anggota Jemaah itu pada pukul 2.30 petang di Wisma Darul Aman di sini.


"Ye saya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan InsyaAllah saya akan hadir esok," katanya ringkas.

Salah seorang Adun pembangkang daripada DAP yang enggan dinyatakan namanya turut mengesahkan perkara yang sama namun enggan mengulas lanjut.

Ketua pembangkang Datuk Amiruddin Hamzah tidak dapat dihubungi.

Beliau dilaporkan berada di luar negara.

Sebanyak 15 daripada 36 kerusi Dun di Kedah dikuasai pembangkang, dengan PAS lapan kerusi, PKR empat kerusi, DAP dua, dan satu Parti Amanah Negara (Amanah).

Phahrolrazi yang sebelum ini Adun PAS kini menyertai Amanah.

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak kebelakangan ini apabila Mukhriz menerima tekanan daripada ADUN dan Anggota Parlimen Umno Kedah, serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai timbalan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.


Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.


Petang Isnin, 20 daripada 21 Adun BN hadir pada majlis mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.

Artikel Lain