suria

Pengguna Bimbang Kenaikan Levi Tambah Beban Hidup

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar levi pekerja asing sehingga RM2,500 seorang dianggap tidak wajar kerana ia boleh membebankan pengguna.

Tinjauan mStar Online mendapati pengguna mahu supaya keputusan itu dikaji semula kerana ia boleh menyebabkan kos sara hidup meningkat.

Selain tidak bersetuju dengan kadar baharu levi itu, ada juga yang menyokong pelaksanaannya jika ia membawa kebaikan kepada negara.

Paling ketara apabila ada di kalangan pengguna yang bimbang peningkatan kadar levi itu akan mendorong majikan menaikkan harga bagi menampung kos mereka yang bertambah, sekali gus mengalihkan bebanan kepada orang ramai.

Pengguna yang ditemui juga menganggap situasi ekonomi negara yang dianggap masih tidak stabil juga adalah antara faktor yang menyebabkan keputusan berkaitan levi itu perlu dikaji semula atau ditarik balik.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kadar baharu levi pekerja asing iaitu pertambahan dua kali ganda daripada RM1,250 kepada RM2,500 untuk sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan, manakala sektor pertanian dan  peladangan akan dinaikkan sehingga RM1,500.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut memaklumkan keputusan itu dapat memberi pendapatan tambahan sebanyak RM2.5 billion kepada kerajaan.

Artikel Lain