suria

Kenaikan Levi Akibatkan Perniagaan Makanan Henti Atau Ubah Operasi

PETALING JAYA: Kenaikan kadar levi untuk pekerja asing akan memaksa perniagaan makanan menghentikan atau mengubah operasi mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, kenaikan itu akan membuatkan restoran India Muslim untuk menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan.

"Selepas satu masa, mungkin tidak akan ada lagi restoran nasi kandar atau mamak. Selepas ini, anda tidak ada tempat untuk melepak dan menikmati makanan pada harga berpatutan.

"Kos operasi akan meningkat, dengan kadar sewa yang lebih tinggi, Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

"Kami kini melalui waktu sukar," kata Noorul Hassan.

Beliau berkata, perniagaan sukar untuk kekal mencatatkan keuntungan terutama ketika ini kuasa beli pengguna adalah terhad.

"Ia mewujudkan satu kesan berangkai - pendapatan individu tidak meningkat tetapi semua yang lain meningkat.

"Bila kuasa beli pengguna berkurangan, peniaga tidak boleh menjalankan perniagaan mereka kerana jumlah orang yang memasuki ke kedai kami berkurangan.

"Perolehan kami juga akan berkurangan," katanya.

Noorul Hassan berkata, walaupun kos tidak akan dilepaskan kepada pengguna buat masa ini, tetapi keadaan itu bakal berubah.

"Berapa lama perniagaan harus menyerapkan kos ini? Akhirnya bebanan akan ditanggung pengguna," katanya.

Noorul Hassan berkata, peniaga mungkin mengambil jalan keluar dengan mendapatkan pekerja asing tanpa izin untuk mengelakkan daripada membayar kenaikan levi.

Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar, Burhan Mohamed berkata, levi akan membuatkan mereka tiada pilihan tetapi perlu melihat kepada perubahan operasi perniagaan kerana mereka kini menanggung lebih setengah juta ringgit untuk kira-kira 200 pekerja asing.

"Jika perniagaan kami terjejas, kami mungkin perlu mengurangkan bilangan pekerja dan memperkenalkan perkhidmatan layan diri di restoran kami," kata Nurhan yang merujuk kepada sembilan restoran.

Beliau menambah, ia melibatkan penambahan RM130,000 kepada RM370,000 yang dibayarkan mereka sebelum ini.

"Jika kami mengurangkan lagi, ia akan menjejaskan perkhidmatan kami," katanya.

Ditanya sama ada harga makanan akan dinaikkan, beliau berkata, mereka akan mengekalkan harga buat masa ini.

"Kita perlu tunggu pengauditan terlebih dahulu," katanya.

Seorang lagi pengusaha dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memiliki 10 kafe berkata, beliau akan "tunggu dan lihat" keadaan pada masa ini.

"Jika keadaan bertambah sukar, saya mungkin terpaksa menutup sebahagian kafe," kata pemilik kafe yang hanya mahu dikenali sebagai Kuah.

Kuah yang turut mempunyai syarikat pembungkusan dan minuman berkata, beliau menggaji seramai 100 pekerja.

Beliau berharap kerajaan akan mengkaji nasib peniaga dan mempertimbangkan semula keputusan untuk menaikkan levi.

Presma, levi, pekerja asing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain