suria

Syor Mesyuarat Penuh Majlis PBT Disiar Secara Langsung Di Internet

TANJUNG MALIM: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesyorkan agar mesyuarat penuh ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang.

Katanya langkah itu penting bagi memberi maklumat kepada masyarakat sejauh mana PBT menjalankan peranannya memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan.

"Ia juga penting untuk memastikan rakyat memahami setiap usaha yang dilaksanakan PBT, terutamanya dalam aspek pengurusan kewangan dan pelaksanaan program di kawasan setempat.

"Langkah itu secara tidak langsung akan membolehkan setiap usaha transformasi yang direncana kerajaan dapat disampaikan kepada rakyat akar umbi dengan lebih berkesan," katanya selepas melakukan tinjauan inisiatif 1Malaysia Youth City (1MYC) di sini Ahad.

Abdul Rahman berkata setakat ini enam PBT telah menyahut cadangan itu dan maklum balas yang diberikan amat memberangsangkan.

Beliau menghuraikan mengenai kenyataannya semalam yang menyarankan agar PBT lebih telus dan terbuka dalam perkongsian maklumat bersama penduduk setempat.

Abdul Rahman berkata langkah itu juga akan dapat mengelak PBT daripada dikritik selain memastikan tiada pihak memanipulasi sesuatu maklumat hingga boleh menimbulkan fitnah.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata pihaknya sedang dalam proses membina tiga aplikasi baharu iaitu Kepochi, Orang-e dan Teduh.

Semua aplikasi ini akan dilancarkan di platform Android dan iOS pada Februari atau Mac.

"Aplikasi Kepochi ini membolehkan orang ramai membuat aduan permasalahan mereka seperti jalan berlubang dan aduan itu akan terus sampai kepada pihak berkuasa tempatan.

"Orang-e pula mampu memadankan pembeli dengan penjual tempatan serta untuk berkongsi kereta manakala aplikasi Teduh berfungsi mencarikan pembeli bagi unit hartanah kediaman Bumiputera yang tidak terjual," katanya.--Bernama





PBT, Abdul Rahman Dahlan, 1MYC

Artikel Lain