suria

Malaysia Sertai Eksesais Tsunami 'Pacwave16' - Meteorologi

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menyertai satu eksesais tsunami yang dinamakan Eksesais Gelombang Pasifik 2016 (PacWave16), Khamis ini, yang akan meliputi latihan komunikasi dengan penghantaran maklumat.

Untuk itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik atau mudah terpengaruh dengan sebarang khabar angin yang mungkin disebarkan melalui media sosial sepanjang eksesais itu dijalankan, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Menurut jabatan itu, antara agensi kerajaan yang akan terlibat dalam program itu ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Program ini merupakan sebahagian daripada eksesais tsunami yang akan disertai 16 negara termasuk Malaysia di persekitaran kawasan barat laut Pasifik selama lima hari mulai esok, menurut jabatan itu.

"Ia bertujuan menguji prosedur pengurusan bencana setiap negara serta penggunaan produk ramalan Pusat Advisori Tsunami Barat Laut Pasifik (NWPTAC) di Jepun," menurut jabatan itu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung latihan itu boleh menghubungi Pusat Amaran Awal Tsunami, MetMalaysia di talian 03-79678066 atau hotline 1-300-22-1638.

Sementara itu, kenyataan Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan berhubung program tsunami menyatakan eksesais secara meluas itu merupakan cara berkesan bagi menilai kesediaan Sistem Mitigasi dan Amaran Tsunami Pasifik (PTWS) negara-negara berkenaan dan mengenal pasti perubahan yang boleh meningkatkan keberkesanannya.

Eksesais itu akan menggunakan pelbagai senario di Pasifik disertai produk mesej tsunami dari Pusat Amaran Tsunami Barat Laut Pasifik (NWPTAC) dari Jepun.

PacWave16, eksesais serantau yang ditetapkan Pusat Tumpuan Amaran Tsunami (TWFP) bagi menerima Advisori Tsunami Barat Laut Pasifik (NWPTA) dari Pusat Advisori Tsunami Barat Laut Pasifik bagi Agensi Meteorologi Jepun (JMA NWPTAC).

Eksesais itu bertujuan untuk menyokong pembangunan prosedur tsunami yang lebih baik dan produk NWPTAC yang dipertingkatkan.

Maklum balas daripada PacWave16, dan daripada eksesais antarabangsa yang akan datang, PacWave17, akan digunakan untuk memuktamadkan Produk NWPTAC yang dipertingkatkan untuk dilaksanakan secara rasmi pada 2018.

Selain Malaysia, 15 negara lain yang mengambil bahagian adalah Brunei Darussalam, Kemboja, China, Micronesia, French Polynesia, Indonesia, Palau, Papua New Guinea, Filipina, Korea Selatan, Rusia, Singapura, Solomon Islands, Thailand, dan Vietnam.--Bernama



PacWave, tsunami, NADMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

BR1M Diagih Secara Berperingkat

Artikel Lain