suria

Speaker Kedah Tak Terima Usul Undi Tak Percaya

Mukhriz (kanan), Md Rozai (dua, kanan) ketika menghadiri upacara istiadat negeri di Istana Anak Bukit pada Khamis.
ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk sidang DUN pada bulan Mac.

Datuk Md Rozai Shafian berkata beliau tidak menerima apa-apa usul daripada mana-mana 36 wakil rakyat, termasuk 21 daripada Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada pemberita di luar upacara istiadat negeri di Istana Anak Bukit di sini pada Khamis, beliau berkata persidangan itu akan diteruskan seperti dijadualkan pada bulan Mac.

Katanya, beliau juga tidak tahu mengenai akuan berkanun yang dilaporkan ditandatangani oleh majoriti wakil rakyat BN yang didakwa bagi menyokong penyingkiran Mukhriz sebagai menteri besar.

Sebelum ini dilaporkan bahawa hanya Mukhriz dan Adun Jitra Datuk Aminuddin Omar yang tidak menandatangani akuan berkanun itu, manakala 19 wakil rakyat BN lain dikatakan telah menandatanganinya.

Md Rozai, yang bukan wakil rakyat, menggesa rakyat supaya bertenang sambil menambah segala-galanya akan diselesaikan secara baik.

Sembilan anggota exco kerajaan negeri berada di majlis itu kecuali Adun Belantek Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Mukhriz sementara itu menjalankan tugasnya seperti biasa dan nampak tenang ketika berjalan masuk ke dalam dewan istana bersama isteri, Datin Seri Norzieta Zakaria.

Pada Rabu, beliau dilaporkan telah membatalkan mesyuarat exco kerajaan negeri mingguan apabila hanya tiga anggota exco yang hadir.

Artikel Lain