SEORANG wanita berusia 31 tahun berdepan masalah kesihatan serius selepas mengamalkan diet ekstrem dengan hanya mengambil air selama 15 hari.Wanita yang sebelum ini mempunyai berat badan 70 kilogram (kg) dengan ketinggian 160 sentimeter itu berjaya menurunkan kira-kira 20 kg dalam tempoh beberapa minggu. Namun, penurunan berat badan secara mendadak itu menyebabkan dia mengalami ensefalopati Wernicke, iaitu gangguan otak serius akibat kekurangan nutrien penting, termasuk vitamin.Menurut pakar neurologi dari Hospital Gabungan Pertama Universiti Zhengzhou, Sun Guifang, wanita dari Henan, China berkenaan mengalami masalah berjalan, kemerosotan daya ingatan dan kekeliruan.Lebih membimbangkan, gaya berjalannya dikatakan menyerupai penguin dan terdapat kemungkinan masalah itu tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.Wanita terbabit memberitahu doktor bahawa dia mengamalkan 'bigu', iaitu teknik berpuasa Tao yang berasaskan kepercayaan bahawa seseorang boleh mencapai tahap kerohanian tertentu dengan hanya bergantung kepada qi atau tenaga hidup.Amalan yang secara harfiah bermaksud 'menghindari bijirin' itu turut semakin mendapat perhatian di media sosial sebagai kaedah menurunkan berat badan dan 'detoks'.Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa berpuasa secara ekstrem tanpa pengambilan nutrien mencukupi boleh membawa kepada masalah kesihatan serius.Malah, terdapat beberapa kes dilaporkan sebelum ini membabitkan pengamal kaedah sama yang mengalami komplikasi kesihatan, termasuk seorang lelaki berusia 26 tahun yang meninggal dunia selepas hanya minum air selama 52 hari.Pakar menegaskan penurunan berat badan sepatutnya dilakukan secara berperingkat menerusi pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal, bukannya sekatan kalori secara melampau.-Agensi