SEORANG remaja lelaki didakwa menjadi mangsa gangguan seksual selepas seorang lelaki tidak dikenali merakam gambarnya ketika berada di dalam tandas.Menurut ibu mangsa, anaknya yang berusia 13 tahun ketika itu menggunakan tandas berhampiran sebuah sekolah muzik sebelum lelaki berkenaan didakwa mengambil gambar dari bahagian atas tandas bersebelahan. Mangsa pada mulanya tidak menyedari dirinya dirakam dalam kejadian 5 petang pada 30 Jun lalu itu.Bagaimanapun, selepas keluar dari tandas, lelaki terbabit didakwa menunjukkan gambar berkenaan kepada mangsa sebelum mengugut untuk memuat naiknya ke media sosial sekiranya mangsa enggan melakukan hubungan seks dengannya.Terkejut dan ketakutan, mangsa menolak permintaan tersebut sebelum meninggalkan tandas di tingkat empat HDB Hub, Toa Payoh di Singapura.Lelaki berkenaan kemudian didakwa mengekori mangsa sehingga ke stesen MRT Toa Payoh.Ibu mangsa segera membuat laporan polis selepas mengetahui kejadian itu dan turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada premis sekitar sebelum menyerahkannya kepada polis.Menurutnya, pihak berkuasa memaklumkan sudah memperoleh rakaman CCTV dan sedang berusaha mengenal pasti suspek.Bagaimanapun, hampir dua bulan selepas kejadian, lelaki terbabit masih belum ditahan.Ibu mangsa berkata anaknya masih mengalami trauma dan takut untuk menggunakan tandas seorang diri.“Dia masih takut apabila teringat kejadian itu. Dia takut pergi ke tandas seorang diri,” katanya.Mangsa turut dimaklumkan kepada pihak sekolah bagi mendapatkan kaunseling.Polis Singapura mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.-Agensi