suria

Penerima Biasiswa Menangis Selepas Dengar Pengubahsuaian Bajet 2016

- Gambar hiasan
PETALING JAYA: Seorang penerima biasiswa menangis di hadapan rakan-rakan kolej dan pensyarah setelah mengetahui bahawa impiannya untuk menyambung pengajian ke luar negara hampir musnah.

"Saya dan rakan-rakan melihat pengumuman (pengubahsuaian Bajet 2016) dalam kelas. Saya begitu kecewa sehingga saya menangis di sana," kata pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Liana, 20.

Dia sepatutnya melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di King's College di Britain tetapi rancangan itu kini samar kerana hanya 20 pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dipilih untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka seluruh dunia selepas pengubahsuaian dibuat.

Pengumuman itu mengejutkan 744 penerima biasiswa yang mendapat 9A + dalam peperiksaan SPM 2013 di mana mereka perlu berada dalam kelompok 20 pelajar terbaik untuk belajar di luar negara.

Bagaimanapun, Liana memberitahu The Star bahawa dia akan menerima tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pengajiannya dalam negara.

"Saya tak ada banyak pilihan," kata anak kepada seorang kerani itu, sambil menambah keluarganya tidak mampu menanggung yuran universitinya.

Liana tidak menangis keseorangan.

Elayne (bukan nama sebenar), 20, teresak-esak ketika dihubungi melalui telefon dan tidak dapat meneruskan perbualan.

Seorang lagi penerima, yang baharu sahaja memasuki universiti di Britain terpaksa reda dan menerima hakikat.

"Saya rasa saya hanya perlu pilih universiti tempatan. Saya tak mampu untuk belajar perubatan di sini (Britain) melainkan saya mendapat biasiswa," kata Evon, 20.

Apa yang berlaku hari ini adalah hampir sama seperti tahun 1998 apabila bilangan pelajar tajaan JPA ke universiti luar negara telah dikurangkan disebabkan oleh krisis kewangan Asia.

Bagaimanapun, bagi beberapa penerima, mereka masih tidak mahu menyerah.

Gerald, 20, yang mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam di Imperial College London berkata: "Ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup. Jika saya tolak tawaran ini, tidak ada sebab untuk kolej ini menerima saya lagi pada masa akan datang kerana terdapat banyak pemohon lain yang layak.

"Saya merancang untuk mencari biasiswa daripada sektor korporat," kata anak kepada seorang jurujual.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata menghantar kesemua 744 penerima biasiswa kebangsaan di luar negara akan menelan kos sebanyak RM1 bilion yang akan 'memberikan tekanan kepada kewangan negara.

Beliau berkata pendidikan berkualiti tinggi masih dapat diperolehi di negara ini, sambil menambah keputusan ini dibuat selepas beliau bersama-sama dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang membuat ikrar bagi pihak pelajar di Kabinet.

Sambil mengakui bahawa ini bukanlah 'penyelesaian yang sempurna', Dr Wee berkata ia merupakan salah satu cara untuk memastikan bahawa pelajar muda yang bijak pandai dapat meneruskan pengajian tinggi mereka.

"Kami ingin merayu kefahaman dan kesabaran daripada mereka yang terlibat dengan keputusan ini. Ia adalah kompromi yang perlu dilakukan kerajaan memandangkan cabaran ekonomi yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu catatan di Facebook.

Artikel Lain