AKTIVITI bermain pasir dan membina istana pasir sememangnya sinonim dengan suasana di pantai, namun menggali lubang terlalu dalam boleh mengundang risiko apabila struktur pasir runtuh.Bahaya tersebut dapat dilihat menerusi kejadian di Massachusetts, Amerika Syarikat pada 18 Ogos lalu apabila seorang remaja berusia 18 tahun terpaksa diselamatkan selepas terperangkap dalam lubang ketika membina istana pasir. Tragedi itu berlaku di Scusset Beach, Sandwich apabila lubang yang digalinya runtuh ketika dia cuba keluar.Remaja yang hanya dikenali sebagai Zach itu tertimbus sehingga paras pinggang sebelum seramai 24 anggota kecemasan mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkannya.Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan menggunakan tali sebelum dibawa menaiki helikopter perubatan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.Menurut portal KSLA News 12, Zach dilaporkan berada dalam keadaan sedar selepas berjaya dikeluarkan.Menurut seorang wanita, Zach yang sedang bercuti bersama keluarganya membina parit untuk istana pasir sebelum kejadian itu berlaku.Sebelum ini, Public Health Malaysia (PHM) ada berkongsi peringatan mengenai risiko menggali lubang pasir terlalu dalam di kawasan pantai, terutama berhampiran gigi air.Menurut PHM, pasir basah boleh menjadi sangat berat dan padat apabila runtuh lalu menimbus bahagian kaki atau badan.Keadaan itu boleh menyukarkan mangsa untuk bergerak atau dikeluarkan, malah runtuhan yang sampai ke bahagian dada boleh menyebabkan mangsa sukar bernafas.Justeru, aktiviti bermain pasir dan membina istana pasir masih boleh dilakukan, namun elakkan menggali lubang terlalu dalam, membina terowong pasir atau menggali terlalu hampir dengan gigi air.Lubang yang digali juga perlu dikambus semula selepas selesai bermain bagi mengelakkan risiko kepada pengunjung lain.Bahaya di pantai bukan hanya datang daripada laut, sebaliknya pasir yang kelihatan biasa juga boleh menjadi ancaman apabila runtuh dan menimbus seseorang.