suria

Singkir Mukhriz: Umno Kedah Tunggu Najib

Ahmad Lebai Sudin

PETALING JAYA: Selepas lebih seminggu gerakan untuk menggulingkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilakukan secara terbuka, masih tiada tanda-tanda Kedah bakal menerima Menteri Besar baharu dalam masa terdekat.

Kini, pihak yang terlibat dalam gerakan untuk menyingkirkan Mukhriz daripada politik Kedah itu meletakkan harapan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno untuk merealisasikan matlamat itu.

"Saya serahkan kepada Perdana Menteri," demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Tanpa mengulas lanjut, Ahmad bagaimanapun hanya mengulangi pendiriannya untuk 'tunggu dan lihat' mengenai perkembangan krisis politik di Kedah.

Pada April tahun lalu, Ahmad menggesa Mukhriz yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya gagal menyokong kepimpinan Najib.

Sejak itu, usaha untuk menyingkirkan Mukhriz semakin giat dilakukan hingga yang terbaharu pada 20 Januari lalu, majoriti kepemimpinan Umno Kedah dan wakil rakyat negeri itu menyuarakan pendirian hilang kepercayaan ter­hadap Mukhriz.

Berdasarkan perkembangan semasa, Najib  sudah menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Rabu lalu - mengundang spekulasi kononnya Perdana Menteri membawa senarai nama calon Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz.

Bagaimanapun usaha untuk menggulingkan Mukhriz masih 'tertangguh' berikutan Najib masih belum menghadap Tunku Temenggong Kedah merangkap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehudin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berhubung isu berkenaan.

Artikel Lain