suria

PTG Tahan Dua Lelaki Ingkar Arahan Moratorium

KUANTAN: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang menahan dua lelaki yang dipercayai ingkar dengan arahan moratorium apabila masih menjalankan kegiatan mengorek dan mengangkut bauksit pada Ahad lepas.

Pengarahnya Datuk Nazri Abu Bakar berkata kedua-dua mereka termasuk seorang warganegara Indonesia itu ditahan kira-kira 12 tengah hari dalam satu serbuan di kawasan berhampiran Taman Industri Kuantan Malaysia-Cina (MCKIP) di sini.

"Dalam serbuan itu, PTG turut merampas dan menyita sebuah mesin pengorek dan sebuah lori tipper untuk siasatan lanjut," katanya kepada Bernama pada Rabu tanpa menyatakan umur kedua-dua lelaki yang ditahan itu.

Nazri berkata tangkapan itu adalah hasil daripada aduan pemilik tanah yang mengatakan masih ada pihak menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001.

Kerajaan memutuskan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit selama tiga bulan bermula 15 Jan lepas bagi menyelesaikan masalah pencemaran akibat aktiviti berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain