suria

Guru Buat Laporan Murid Dakwa Hampir Diculik

IPOH: Polis menerima laporan daripada seorang guru selepas seorang pelajar perempuan mendakwa hampir diculik pada pagi Rabu, kata Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong.

Sum berkata guru Sekolah Kebangsaan itu membuat laporan di Balai Polis Kampung Tawas selepas melihat seorang pelajar Tahun Lima berada dalam keadaan ketakutan dan menggigil sebaik tiba di pejabatnya kira-kira 9 pagi.

"Murid itu memberitahu (guru berkenaan) semasa keluar dari tandas, seorang lelaki menghampirinya dan menutup mulut mangsa dengan tangan seolah-olah hendak memberikan gula-gula sebelum menariknya ke dalam sebuah van putih yang diletakkan di tempat basikal.

"Bagaimanapun, murid itu berjaya melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Sum hasil siasatan mendapati sekolah berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada sesiapa yang melihat kejadian itu.

Tambah Sum hasil soal siasat ke atas pengawal keselamatan dan tukang kebun di sekolah itu juga mendapati mereka tidak melihat kelibat van putih masuk ke dalam kawasan sekolah.

"Semakan buku lawatan juga mendapati tiada sebarang catatan kehadiran orang awam masuk ke sekolah berkenaan kerana orang awam yang ingin masuk perlu menulis butiran serta ambil pas lawatan.

"Ketika kejadian didakwa berlaku ramai pelajar dan guru berada di kawasan berkenaan kerana waktu itu masa untuk aktiviti kokurikulum...tapi tidak nampak kejadian," katanya.

Sum berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan seorang pakar psikologi dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) akan menyoal siasat mangsa dalam masa terdekat.

Artikel Lain