suria

Pertemuan Tertutup Bincang Isu Proses PLKS Dalam Talian

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen akan mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan yang dilantik berhubung penambahbaikan proses memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing secara dalam talian.

Menurut sumber kepada Mstar Online, pertemuan tersebut diadakan secara tertutup melibatkan kerjasama dua badan itu.

Jabatan Imigresen merupakan agensi pelaksana di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi pengurusan pekerja asing di negara ini. 

“Satu pertemuan akan diadakan secara tertutup. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak akan berbincang hal berkaitan PLKS sepanjang tahun lalu.

“Antaranya isu-isu tidak boleh ditangani oleh penyedia perkhidmatan dan perbincangan ini untuk menyelesaikan masalah-masalah berbangkit demi kelancaran perkhidmatan pada masa akan datang,” katanya kepada mStar Online.

Sumber itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai lokasi dan masa pertemuan tersebut akan diadakan.

Mstar Online pada Selasa melaporkan Jabatan Imigresen mendakwa terpaksa campur tangan apabila lebih 30,000 permohonan memperbaharui PLKS gagal diselesaikan menerusi sistem dalam talian tahun lalu.

Difahamkan, jumlah tersebut tidak termasuk permohonan dibuat majikan di kaunter imigresen disebabkan kes-kes tertentu yang perlu dibuat secara manual.

Menurut Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Khairul Khar Yahya, walaupun jumlah itu kecil berbanding bilangan permohonan yang berjaya diproses oleh penyedia perkhidmatan berkenaan tetapi 'kegagalan' tersebut boleh menimbulkan masalah kelewatan serahan pelekat PLKS baharu kepada majikan.

Menurut sumber, isu-isu yang tidak dapat ditangani oleh penyedia perkhidmatan tersebut berdasarkan prestasi tahun lalu termasuk aduan daripada pihak majikan.

“Sehubungan itu, perbincangan menerusi ‘bengkel’ di antara kedua-dua pihak ini dapat mengusulkan cadangan dan pendapat untuk penambahbaikan,” katanya.

Mstar Online sebelum ini telah menghubungi MyEG yang merupakan penyedia perkhidmatan dalam memperbaharui PLKS itu dan masih menunggu maklum balas pihak berkenaan.

Tahun lalu, sebanyak 926,386 permohonan memperbaharui PLKS berjaya diproses secara dalam talian.

Ia meliputi enam sektor dibenarkan iaitu pembuatan (411,483), pembinaan (175,704), perkhidmatan (135,224), perladangan (86,264), pertanian (67,880) dan pembantu rumah (49,831).

Jabatan Imigresen, PLKS, MyEG

Artikel Lain