suria

Universiti Ditutup Sementara Ekoran Panggilan Bom Palsu

Gambar hiasan,

PETALING JAYA: Satu panggilan palsu mengenai ancaman bom menyebabkan sebuah universiti swasta di Jalan Teknologi, Kota Damansara di sini, ditutup sementara dan 2,000 pelajarnya diminta segera berpindah demi keselamatan mereka.

Pada 10 pagi Jumaat, seorang staf mendapat maklumat daripada seorang individu tidak dikenali tentang kemungkinan terdapat ancaman letupan bom di universiti berkenaan.

Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, pelajar diarah meninggalkan universiti itu selepas seorang staf mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa dia ternampak seorang pelajar antarabangsa, meletakkan sebutir bom di sebuah tandas.

"Oleh kerana pemanggil tidak menyatakan secara khusus di tandas mana bom itu diletakkan, maka kami terpaksa melakukan pencarian secara menyeluruh di sekitar bangunan universiti itu.

"Kami tidak menjumpai sebarang objek yang meragukan dan setelah mendapat lampu hijau daripada skuad bom polis Selangor, universiti itu dibuka semula kepada pelajar dan stafnya," kata beliau kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mohd Zani berkata, sesetengah pelajar universiti itu sedang mengambil peperiksaan dan polis sedang mengenal pasti pemanggil berkenaan. 

Universiti itu dibuka semula kira-kira 2.10 petang Jumaat.

Seorang pelajar dari Nigeria, Kamara, 24, menyuarakan kemarahannya mengenai panggilan bom palsu itu, dan berkata ia tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan kerana perkara seumpama itu boleh menyebabkan orang ramai menjadi panik.

"Saya panik apabila mendapat tahu mengenainya, saya sangka ia betul-betul berlaku," katanya ketika ditemui di pintu masuk universiti berkenaan.

Pelajar itu kelihatan lega apabila polis mengesahkan tiada sebarang bom dijumpai, dan keadaan di universiti tersebut adalah selamat. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain