suria

Mayat Pemandu Lori Ditemui Terapung

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dipercayai pemandu lori sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris ditemui terapung di Tasik Taman Jaya, berhampiran Amcorp Mall, Petaling Jaya, dekat sini Jumaat.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya Abdul Rahman Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira lima meter dari tebing tasik itu dan dibawa naik oleh pihaknya pada pukul 5.36 petang. 

"Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kes itu diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, sebuah jentera bersama lapan anggotanya bergegas ke tempat kejadian pada pukul 5.26 petang setelah menerima panggilan orang awam berkaitan penemuan mayat itu.

Menurut maklumat awal, isteri mangsa telah membuat laporan polis pada Khamis apabila mendapati suaminya tidak pulang ke rumah. - Bernama

Artikel Sebelum

Saya Tak Buat Salah - Mukhriz

Artikel Berikut

Artikel Lain