suria

Saya Tak Buat Salah - Mukhriz

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang membolehkan Umno mengenakan tindakan disiplin terhadap beliau.

"Saya tidak fikir saya ada lakukan sebarang kesalahan," kata Mukhriz ketika ditemui pemberita pada Jumaat malam selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang.

Mukhriz yang tiba selepas menaiki penerbangan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur enggan mengulas sekiranya terdapat sebarang tindakan disiplin akan diambil ke atas 14 Ketua Umno Bahagian Kedah yang dilaporkan membuat gesaan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Menurut Mukhriz, beliau tidak mempunyai sebarang rancangan membabitkan 14 individu berkenaan.

"Tiada rancangan lagi, hanya tunggu dan lihat," kata Mukhriz.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada Rabu lalu mendakwa 14 daripada 15 Umno bahagian di negeri itu telah hilang kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Bashah menggesa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menggantikan Mukhriz kerana gagal menyatupadukan parti dan jentera di semua peringkat di negeri itu dan gagal membawa pembangunan.


Mukhriz Mahathir

Artikel Berikut

Artikel Lain