suria

53 Individu Ditahan Dalam 'Ops Total Enforcement' Sekitar Sentul

ACP Munusamy membuat rondaan di pasar Selayang. Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Seramai 53 orang termasuk 32 warga asing ditahan polis atas pelbagai kesalahan dalam 'Ops Total Enforcement' yang dijalankan di sekitar Sentul pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata seramai 202 individu diperiksa dalam operasi yang menumpukan kepada kesalahan trafik, dadah, kongsi gelap, warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dan gerai kecil yang tiada lesen sah menjaja. 

Bercakap dalam sidang media hari ini, Munusamy berkata operasi yang bermula pada pukul 8 pagi menyaksikan 30 warga asing yang terdiri daripada 22 warga Myanmar, lima warga Indonesia, dua warga Bangladesh dan seorang warga Nepal ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah. 

Selain itu, katanya 22 lagi individu ditahan kerana kes dadah meliputi 20 warga tempatan serta dua warga asing dengan rampasan dadah heroin seberat 5.54 gram, manakala lima individu ditahan kerana terlibat dalam kongsi gelap namun dibebaskan kemudian. 

"Bagi kesalahan trafik pula, seorang individu lelaki ditahan manakala sejumlah 155 saman dikeluarkan semalam," katanya sambil menambah tiada kesalahan direkodkan terhadap gerai yang tidak mempunyai lesen sah menjaja.

Operasi yang akan berakhir pada 26 Januari itu turut melibatkan penyertaan 10 agensi kerajaan lain iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya mengenai Pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu  serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan. 

Dalam pada itu, katanya seramai 123 orang terdiri daripada 13 warga tempatan dan 110 warga asing ditangkap kerana terlibat dalam kes-kes gangsterisme dan tidak mempunyai dokumen perjalan sah dalam ‘Ops Cegah Jenayah’ yang dijalankan dari 14 Jan sehingga semalam di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang. 

Sementara itu, ditanya mengenai kawalan pihaknya bersempena perayaanThaipusam hujung minggu ini, Munusamy berkata polis Sentul akan mengawal perarakan pedati pada tengah malam ini bermula di Jalan Tun Razak sehingga ke Bulatan Sentul sebelum diserahkan kepada polis Gombak untuk kawalan selanjutnya.   

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba mengganggu penganut Hindu yang menyertai perarakan itu,” katanya. 

Menyentuh mengenai ancaman pengganas yang dilihat semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini, beliau berkata polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjayakan ‘Ops Ledak’ bermula Jumaat bagi meningkatkankawalan dalam memastikan kawasan di sekitar Sentul selamat. 

"Bagi daerah Sentul, beberapa anggota polis dan ATM terlibat dalam ‘Ops Ledak’ terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dan warga asing seperti di pusat beli-belah Publika, Jalan Duta dan Sentul Raya," katanya. -Bernama

Ops Total Enforcement

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JPJ Kaji Daftar Lori Hantu

Artikel Lain