suria

Dua Beranak Rentung Dalam Kebakaran Di Teluk Kumbar

BALIK PULAU: Dua beranak termasuk seorang bayi perempuan berusia tiga bulan rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar dekat sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin berkata mangsa ialah Nazri Zainal Abidin, 29, dan anaknya Damia Auliah Salsabila.

Beliau berkata kebakaran berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi tadi.

"Nazri yang pada mulanya berjaya keluar dipercayai telah masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan anak tunggalnya itu. Peniaga itu bagaimanapun gagal menyelamatkan diri dan anaknya kerana sebaik masuk ke dalam rumah papan dua tingkat itu, api sedang marak dan merebak dengan cepat," katanya.

Rumah itu didiami mangsa bersama isteri, anak mereka, ibu mentua Nazri serta tiga kanak-kanak lelaki yang merupakan anak saudara kepada isterinya.

Lima yang lain berjaya menyelamatkan diri.

Beliau berkata isteri mangsa yang berusia 20-an turut melecur di tangan ketika hendak keluar dari rumah berkenaan.

Lai berkata mayat Nazri ditemui di pintu hadapan rumahnya pada pukul 3 pagi selepas kebakaran itu berjaya dikawal, manakala anaknya ditemui dalam katil bayi di tingkat atas kediaman berkenaan.

Katanya kedua-dua mayat yang rentung dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat manakala isteri mangsa turut dihantar ke hospital sama.

Ketua Operasi Balai Bomba Seri Balik Pulau, Norashikin Md Isa berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.17 pagi dan jentera pertama bersama lima anggota tiba di lokasi kebakaran 20 minit kemudian.

"Semasa pihak bomba tiba, api sedang marak dan kami dapat mengawal api dari merebak ke rumah berhampiran dalam tempoh 10 minit sebelum berjaya memadam keseluruhan kebakaran itu pada pukul 3 pagi," katanya.

Beliau berkata seramai 50 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi memadam kebakaran itudan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, ibu metua mangsa Che Gayah Mat Rawi, 76, berkata beliau tersedar dari tidur selepas terdengar bunyi bising di luar rumah dan orang menjerit memberitahu berlaku kebakaran.

"Selepas dengar bunyi orang menjerit api api, mak cik terus bangun dan gerak (kejutkan) tiga cucu lelaki yang sedang tidur dengan mak cik di bilik bawah sebelum kami ambil kunci rumah dan keluar menyelamatkan diri," katanya.

Katanya selepas itu, anak perempuan dan menantunya yang tidur di bilik di tingkat atas rumah mereka keluar menyelamatkan diri sebelum mangsa masuk semula ke dalam rumah selepas menyedari bayinya tertinggal.

"Ketika itu, api sudah marak dan membakar keseluruhan rumah saya dan jiran sebelah rumah memberitahu, menantu saya yang masuk untuk selamatkan anaknya tidak keluar dan kami mula rasa tidak sedap hati.

"Anak perempuan saya cuba untuk masuk tetapi pihak bomba menghalang dan tidak benarkan sesiapa masuk kerana api sedang marak. Mak cik sedih sangat bila melihat bomba keluarkan mayat menantu dan cucu mak cik," katanya. -Bernama

Dua beranak rentung

Artikel Sebelum

JPJ Kaji Daftar Lori Hantu

Artikel Lain