suria

Model Tanggal Baju Dilepas Dengan Bon Kelakuan Baik

KUALA LUMPUR: Bekas model yang didakwa menanggalkan bajunya di khalayak ramai dengan gambarnya tanpa baju dan coli menjadi viral di laman sosial tahun lalu dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, Rabu.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Persana Avril Sollunda, 34, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah. Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan hari ini.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis setiap sebulan sekali untuk pemeriksaan air kencing bagi mengesan kandungan alkohol atau dadah.

"Jika kamu melanggar syarat yang ditetapkan dalam tempoh dua tahun, kamu boleh dikenakan hukuman mengikut pertuduhan asal," kata Nur'Aminahtul Mardiah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Po'ad memohon mahkamah membacakan semula pertuduhan terhadap Persana Avril yang memakai baju berwarna hijau bercorak celoreng tentera dan jaket berwarna kelabu.

"Saya faham. Saya mengaku bersalah. Saya bukan diri sendiri pada masa itu," katanya selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun ketika fakta kes dibacakan tertuduh berkata dia mengaku melakukan kelakuan lucah tetapi tidak menyentuh atau membeli apa-apa ketika kejadian.

Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Kelvin Tan memohon mahkamah mengambil kira beberapa faktor sebelum menjatuhkan hukuman termasuk tertuduh ketika kejadian berada dalam keadaan tidak sedar.

"Tertuduh sudah bercerai dan mempunyai anak, dia terpaksa keluar masuk dari hospital untuk pemeriksaan psikiatri. Berdasarkan laporan rawatan terkini yang dikeluarkan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, tertuduh menghidap skizofrenia.

"Tahap kesihatan tertuduh ini perlu dijadikan satu pertimbangan. Kes ini juga tidak sama seperti kes bogel yang berlaku di Gunung Kinabalu kerana tertuduh tidak sedar ketika kejadian selain pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah," hujahnya.

Nabilah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam iaitu kesalahan yang dilakukan telah menjadi viral di laman sosial, memberi kesan kepada masyarakat dan mengganggu ketenteraman awam.

"Pohon hukuman berbentuk pengajaran dan pencegahan supaya tertuduh belajar terhadap kesilapan yang dilakukan dan tidak terjerumus pada mana-mana kesalahan jenayah pada masa akan datang," katanya.

Persana Avril didakwa melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Jalan Petaling di sini pada pukul 2.07 petang, 23 April tahun lepas, mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Persana Avril telah makan di sebuah restoran di situ tetapi gagal membayarnya menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dan peniaga kedai.

Tertuduh kemudian telah menanggalkan baju dan colinya di tempat kejadian dan berjalan di sekitar Jalan Petaling dan Jalan Sultan sebelum beredar.

Persana Avril Sollunda

Artikel Sebelum

Artikel Lain