suria

MH17: Waris Tuntut Imej Radar Didedahkan

THE HAGUE: Waris dan ahli keluarga mereka yang terbunuh dalam nahas udara MH17 menggesa Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte melancarkan kempen global bagi mendapatkan imej radar yang boleh membantu menentukan siapa yang melepaskan tembakan peluru berpandu terhadap pesawat Malaysia Airlines (MAS).

Semua 298 penumpang dan anak kapal di atas pesawat penerbangan MH17 - yang sebahagian besarnya terdiri daripada warga Belanda  meninggal dunia ketika ia ditembak jatuh dalam perjalanan ke Kuala Lumpur di kawasan perang di timur Ukraine pada Julai 2014.

Para pegawai di Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) membuat kesimpulan dalam siasatan mereka pada tahun lepas bahawa Boeing 777 telah dibedil oleh peluru berpandu BUK, buatan Rusia yang dilancarkan dari wilayah yang dipegang oleh pemberontak pro-Rusia. Tetapi mereka tidak mengatakan secara muktamad siapa yang melepaskan tembakan itu.


Satu siasatan jenayah berasingan juga dijalankan di Belanda untuk cuba mencari mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Kini ahli keluarga dan saudara-mara mangsa nahas di Belanda telah menulis kepada Rutte untuk menyatakan bantahan bahawa data radar utama tidak disediakan kepada para penyiasat sama ada oleh pihak berkuasa Rusia atau Ukraine.

"Kita tidak boleh terima bahawa orang-orang itu enggan memberikan maklumat penting," menurut surat pada Selasa dan diterbitkan Rabu itu.


Mereka menggesa Rutte untuk menggesa sama ada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk menuntut data itu.

Para penyiasat Belanda mengakui bahawa walaupun mereka telah diberikan data radar tertentu oleh Kiev dan Moscow, mereka tidak menerima apa yang dikenali sebagai 'radar utama' dari kedua-dua negara.

Radar utama, tidak seperti radar menengah, di mana ia boleh mengesan kapal terbang atau objek terbang yang tidak diketahui walaupun mereka tidak dilengkapi dengan transponder, menurut ICAO.

Ini bermakna radar utama mungkin boleh mengesan trajektori peluru berpandu, sebagai contoh.

Para penyiasat Belanda dalam laporan pada Oktober mereka menyatakan 'tidak mungkin' sistem radar utama boleh mengesan peluru berpandu itu.

Tetapi bagi pihak keluarga, mereka menegaskan bahawa dapatan itu tidak akan menolak ia sepenuhnya.

Di bawah peraturan ICAO data radar utama perlu disimpan selama 30 hari, dan lebih lama jika ia diperlukan untuk siasatan kemalangan.

Pegawai-pegawai Rusia, bagaimanapun memberitahu pasukan Belanda mereka tidak memelihara data itu kerana nahas itu tidak berlaku di wilayah mereka.

Dan pihak berkuasa Ukraine berkata sistem radar utama mereka telah ditutup untuk penyelenggaraan berjadual.

Penjelasan Kiev 'adalah tidak boleh dipercayai' sementara alasan Rusia adalah 'aneh', bidas ahli-ahli keluarga dalam surat itu.

Mereka juga menuntut agar Amerika Syarikat menyerahkan buktinya. Hanya sehari selepas nahas itu, Washington menyalahkan pemberontak pro-Rusia mengatakan mereka mempunyai imej-imej yang menunjukkan trajektori peluru berpandu.

Kiev telah menyokong versi Washington itu, manakala Moscow telah lama menafikan sebarang penglibatan, sebaliknya menyalahkan tentera kerajaan Ukraine.
MH17, radar utama, Mark Rutte

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain