suria

Pemandu Lori Bauksit Kejar Rezeki Terpijak

KUANTAN: Sikap pemandu lori bauksit yang memandu secara merbahaya dipercayai berpunca daripada sikap mereka yang mahu mengejar wang daripada aktiviti perlombongan bahan mineral itu.

Berikutan upah lumayan yang bakal diterima, terbanyak ramai pemandu yang datang dari luar bertumpu ke Pahang, walaupun mereka tidak mempunyai permit untuk mengangkut.

Yang menyedihkan terdapat penduduk tempatan yang turut maut akibat digilis lori bauksit, misalnya seperti nasib yang menimpa seorang guru Nohaili Ahmad Zabidi, 40, apabila keretanya berlanggar dengan lori bauksit.

Namun seorang pemandu tempatan yang dikenali sebagai Wan Rosli Wan Muda, 43, memberi alasan bahawa pemandu yang memandu secara merbahaya merupakan pemandu luar.

"Mereka beroperasi tanpa permit sehingga menyusahkan pemandu tempatan yang mempunyai permit. Disebabkan mereka, kami pun terpaksa berhadapan dengan pemeriksaan pihak penguat kuasa," katanya. 

Wan Rosli berkata, beliau memperoleh upah sehingga RM180 sehari, RM60 untuk setiap perjalanan dan beliau tidak menolak kemungkinan pemandu lori tanpa permit memperoleh upah lebih lumayan bagi menampung risiko dikenakan pihak  penguat kuasa.

"Disebabkan faktor ini juga, pemandu luar sanggup memandu laju di jalan raya bagi mengejar trip sehingga tengah malam, kerana lebih banyak perjalanan dilakukan, maka lebih lumayan upah yang bakal diperoleh mereka.

"Pemandu lori yang mempunyai permit hanya beroperasi sehingga pukul 4 petang berdasarkan syarat permit. Tetapi mereka (pemandu lori haram) kebanyakannya tidak memperdulikan soal tersebut," katanya.

Wan Rosli berkata berkata selepas pengumuman moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula esok (15 Januari), hampir 90 peratus pemandu lori luar sudah kembali ke negeri masing-masing.

"Terlampau banyak lori di atas jalan raya menyebabkan wujud lebih banyak debu. Namun sekarang keadaan bertambah baik, ia tidak teruk seperti sebelum ini," katanya.

Seorang pemandu luar Roslan Aisha, 44, dari Pulau Pinang berkata beliau  sanggup berjauhan dengan keluarganya semata-mata mahu mengejar upah lumayan yang ditawarkan pengusaha lombong bauksit.

Beliau datang selepas Aidilfitri lalu dan tinggal bersama pemandu lain yang datang dari luar dengan menyewa di kawasan perumahan di Balok.

"Selepas 15 Jan ini, saya terpaksa balik ke Pulau Pinang sebab sudah tidak boleh angkut bauksit selama tiga bulan," katanya.

Nor Hashim Muhamad Toha, 49, yang datang dari Selangor sejak empat bulan lepas berkata beliau sanggup datang kerana tertarik dengan upah lumayan yang telah diperoleh rakan-rakannya.

"Ini banyak bantu kami untuk sara keluarga kami. Tetapi selepas ini (moratorium) tiada lagi lubuk wang untuk kami," katanya sedikit kesal.-- Bernama


bauksit, Kuantan, Roslan Aisha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain