suria

Permohonan Padam Perenggan Dalam Pembelaan Rafizi Didengar 29 Mac

Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu menetapkan 29 Mac untuk mendengar hujahan lanjut dalam permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau untuk memadamkan pembelaan berkaitan komen berpatutan oleh Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan satu pihak lagi dalam saman fitnah berhubung isu subsidi minyak.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu pemberita bahawa Hakim Datuk Noraini Abdul Rahman menetapkan tarikh itu bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis komprehensif berhubung perkara itu.

Najib dan Rosmah memohon untuk memadamkan pembelaan komen berpatutan oleh Mohd Rafizi dan pemilik portal Media Rakyat Chan Chee Kong, atas alasan perkara yang disebut itu adalah pernyataan fakta dan bukannya komen berpatutan.

Pada 16 April lepas, Najib dan Rosmah selaku plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Mohd Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah terhadap mereka dalam satu forum berkaitan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 22 November 2014.

Mereka mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube dan portal Media Rakyat.

Najib dan Rosmah seterusnya mendakwa Chan turut berkongsi rakaman yang sama dalam laman Facebook Media Rakyat, yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.

Menurut mereka lagi Chan telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

Najib dan Rosmah, menuntut antara lain, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang akan ditaksir oleh mahkamah selain faedah dan kos.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mei tahun lepas, defendan berhujah berkaitan komen berpatutan, perlindungan bersyarat dan perkara berkepentingan awam.

Artikel Berikut

Artikel Lain