suria

Malaysia Airlines, Emirates Kongsi Kod Penerbangan KL-Dubai

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan berkongsi kod penerbangan dengan Emirates bagi perkhidmatan penerbangan empat kali sehari Kuala Lumpur ke Dubai berkuat kuasa pada 15 Februari ini, sejajar perjanjian kerjasama yang dimeterai kedua-dua syarikat pada awal Disember 2015.

Sehubungan itu, kekerapan penerbangan Kuala Lumpur ke Dubai akan bertambah daripada satu kepada empat penerbangan sehari, kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan, Rabu.

Kesemua penerbangan itu akan menggunakan pesawat Emirates.
Bersempena kerjasama itu juga, Malaysia Airlines akan menggantung semua penerbangannya bagi laluan Kuala Lumpur-Dubai menjelang 15 Februari dan penumpang terbabit akan menggunakan penerbangan yang berkongsi kod dengan Emirates.

"Perkongsian kod baharu itu akan memberi kemudahan kepada pelanggan bagi  penerbangan sambungan Emirates ke lebih 90 destinasi global.

"Ini termasuk 38 destinasi harian ke Eropah dan dua kali sehari ke bandar utama Eropah seperti Paris, Rome, Munich, Frankfurt, Madrid dan Barcelona selain Kanada dan Amerika Latin," katanya.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan pelarasan program kesetiaan kekerapan penerbangan Malaysia Airlines dan Emirates yang mana pelanggan terlibat kini mempunyai lebih banyak peluang untuk mengumpul dan melunaskan mata ganjaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Christoph Mueller berkata, kerjasama itu akan membolehkan penumpang menikmati kelancaran penerbangan ke bandar utama serata dunia sambil mengumpul peluang meraih ganjaran menerusi program kesetiaan sedia ada.

"Kami juga dapat menawarkan Kuala Lumpur sebagai hab bagi menghubungkan Asia Tenggara manakala Dubai bagi penerbangan sambungan ke Eropah, Asia Barat serta ke Afrika Utara dan Selatan," katanya.

Butiran manfaat itu akan dikongsi secara progresif bagi tempoh suku berikutnya.

kod penerbangan, MAS, Emirates

Artikel Lain