suria

Pakatan Harapan Ada Kuasa Singkir Parti Ingkar

SHAH ALAM: Keanggotaan mana-mana parti sekutu pembangkang akan digugurkan jika didapati melanggari perjanjian bersama yang ditandatangani dalam Pakatan Harapan.

Perjanjian itu dimeterai pada Sabtu antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menerusi fasal ketujuh perjanjian bertulis berkenaan, dinyatakan dengan jelas bahawa parti-parti lain dalam kerjasama itu mempunyai hak untuk membuat keputusan menggugurkan parti yang mencetuskan masalah secara sebulat suara.

Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat berkata, fasal ketujuh menghuraikan prinsip yang akan digunapakai untuk menentukan status Pakatan Harapan atau mana-mana parti anggota sekiranya berlaku pelanggaran perjanjian yang dipersetujui.

"Sebelum ini tak ada perjanjian seperti ini hingga ada parti yang nak buat dua kerja serentak. Di satu sudut mereka kata nak perkukuhkan pakatan, tapi dalam masa sama mereka sedang meruntuhkannya.

"Jadi kali ini, sekiranya ada sebuah parti yang bertindak melanggar perjanjian, parti-parti lain boleh membuat keputusan untuk menentukan status parti itu dalam Pakatan Harapan," katanya di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan dua daripada tujuh kandungan perjanjian Pakatan Harapan pada persidangan pertama pimpinan kesatuan itu.

Sementara itu fasal berkenaan turut menyatakan bahawa status Pakatan Harapan sebagai sebuah muafakat politik di antara parti-partinya hanya boleh diumumkan oleh Majlis Presiden.


Artikel Lain