suria

Mufti Wilayah Terima Kunjungan Muhibah Ketua Biskop KL

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) ketika menerima kunjungan muhibah Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow Beng Kim (kiri) ke pejabatnya.
KUALA LUMPUR: Kunjungan Ketua Biskop Kuala Lumpur Julian Leow Beng Kim ke pejabat mufti Wilayah Persekutuan merupakan kunjungan muhibah malah tiada perbincangan serius diadakan.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pertemuan itu langsung tidak menjurus kepada hal keagamaan malah sekadar kunjungan mahabbah (kasih sayang) dan ta'aruf (perkenalan) untuk saling mengenali antara satu sama lain.

"Kunjungan itu bertujuan bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa serta kemakmuran kepelbagaian agama di Malaysia.

"Saya mengalu-alukan kedatangan mereka dengan sifat Islam yang bersikap toleransi dan cintakan kedamaian serta menuju ke arah kebaikan demi mengukuhkan perpaduan rakyat di negara ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Pada Khamis, Zulkifli mengemas kini status di laman Facebook beliau dan memuat naik beberapa keping gambar kunjungan kali pertama Julian Liew yang diatur bersama badan bukan kerajaan Global Unity Network dan Archbishop Kuala Lumpur.

Zulkifli berkata pertemuan itu dapat mengeratkan perpaduan ke arah persefahaman serta keharmonian antara agama khususnya Islam dan Kristian.

"Setiap daripada kita harus mencari titik persamaan dan bukan titik perbezaan terutamanya dalam melayari kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

"Saya harap perbincangan secara sihat dan berlapang dada dapat dilakukan di masa akan datang di samping menjaga sensitiviti kaum dan agama masing-masing untuk saling hormat-menghormati mengikut batasan agama," katanya.

Artikel Lain