suria

UTHM Perkenal Pasar Terapung Pertama Negara

Gambar Hiasan

PAGOH: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar sejarah tersendiri dengan memperkenalkan konsep pasar terapung yang pertama di negara ini pada 16 Disember lalu.

Pasar itu yang diwujudkan sehari sebagai projek percubaan di Jeti Panchor, Muar, dekat sini menyerupai pasar terapung di Thailand dan Indonesia yang menjual barangan seperti ikan, sayur-sayuran, buah-buahan, kerepek, nasi bungkus dan kuih-muih di dalam sampan.

Idea kewujudannya dicetuskan Penolong Naib Canselor Hubungan Industri dan Masyarakat UTHM, Prof Datuk Dr Abdul Razak Omar yang mahukan kelainan dalam menambah pendapatan masyarakat setempat.

Pelaksanaannya dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Penolong Naib Canselor dan Masyarakat, Pejabat Pentabdiran Pagoh, Kolej Kediaman Pagoh Jaya, Persatuan Nelayan Parlimen Pagoh dan Komuniti Kampung Panchor.

Abdul Razak dalam kenyataan hari ini berkata, beliau berharap projek percubaan itu menarik minat sesetengah pihak untuk meneruskan konsepnya di kawasan Jeti Panchor.

"Pasar terapung yang sinonim di Thailand merupakan program yang cukup bernas bagi menarik perhatian orang ramai yang ingin merasai pengalaman membeli barangan di pasar terapung.

"Kita tidak menolak untuk mengadakannya (pasar) lagi dengan penyertaan sampan yang lebih besar pada masa hadapan berbanding hanya 12 sampan (Disember lalu)," katanya.

Abdul Razak berkata, kewujudan pasar seperti itu diperlukan ketika kawasan Panchor sedang menuju ke arah untuk menerima kira-kira 10,000 pelajar tahun depan berikutan Pagoh dibangunkan sebagai hab pendidikan.

"Berikutan statusnya itu, kawasan sekitar akan dibangunkan dengan empat buah institusi pendidikan iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Politeknik Pagoh dan UTHM sendiri. Ini merupakan peluang besar kepada masyarakat," katanya.-- Bernama



UTHM, pasar terapung, Jeti Panchor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain