suria

Malaysia Kutuk Keras Ujian Bom Hidrogen Bawah Tanah Korea Utara

Datuk Seri Anifah Aman
KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Korea Utara menjalankan ujian bom hidrogen bawah tanah pada Rabu, yang mencabuli Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mahu Korea Utara  menghentikan sebarang ujian lanjut dan mematuhi sepenuhnya Resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata tindakan negara itu menjalankan ujian tersebut merupakan  suatu bentuk penentangan yang serius kepada rejim pelucutan dan pengawalan senjata antarabangsa.

"Malaysia amat kesal dengan insiden terbaharu ini yang merupakan ancaman berbahaya kepada keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Beliau berkata tindakan Korea Utara itu juga menjejaskan usaha-usaha global ke arah mencapai matlamat sejagat mengenai pelucutan senjata secara lengkap dan menyeluruh.

Tindakan-tindakan Korea Utara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya menyumbang kepada peningkatan ketegangan di peringkat serantau serta menjejaskan prospek keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea dan dunia secara amnya, kata beliau.

Artikel Sebelum

Wanita Maut Dilanggar Lori

Artikel Berikut

Artikel Lain