suria

Lagi 100,000 Pemandu Uber Di Malaysia

PETALING JAYA: Kira-kira 100,000 lagi pemandu Uber dijangka memenuhi jalan-jalan di Malaysia pada tahun ini sebagai usaha menambah pendapatan dalam suasana ekonomi yang mencabar.

Uber bukan sahaja boleh membantu banyak pihak meningkatkan pendapatan malah ia akan mengurangkan kebergantungan pengguna kepada kenderaan peribadi untuk bergerak, kata Pengurus Besar Uber (Malaysia), Leon Foong.

"Peluang kerja sambilan ini hanya membantu sesetengah pihak untuk meningkatkan pendapatan sambil menyediakan perkhidmatan kepada orang yang memerlukan kenderaan," katanya.

Langkah terbaharu Uber ini akan terus menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pemandu teksi yang kini berhadapan persaingan.

Malah sekumpulan 102 pemandu teksi mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Rabu minggu lalu berhubung perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa menjalankan operasi secara tidak sah serta menjejaskan mata pencarian mereka.

Kumpulan berkenaan memohon injunksi kekal bagi memaksa SPAD agar tidak mengiktiraf operasi mereka.

Namun Uber dilihat lebih bersemangat dalam misi mereka tahun ini.

"Kami merancang untuk mewujudkan 100,000 peluang ekonomi fleksibel baharu di Malaysia untuk menghadapi cabaran ekonomi," kata Foong ketika dihubungi.

"Ada tujuh juta penduduk yang tinggal di Lembah Klang, jadi kami baru sahaja bermula," katanya.

Beliau mengesahkan bahawa kira-kira 60,000 individu sudah mendaftar sebagai rakan kongsi pemandu Uber setakat ini.

Walau bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna bahawa mereka semua adalah pemandu yang aktif pada masa ini.

Sepanjang tahun lepas, pilihan perkhidmatan perkongsian perjalanan berhadapan tentangan sengit daripada pemandu teksi Malaysia yang mendakwa pendapatan mereka terjejas.

Perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar biasanya menawarkan kadar tambang yang lebih rendah berbanding teksi.

Jurucakap GrabCar berkata syarikat itu sedang mengkaji lebih banyak perkhidmatan untuk penumpang.

Sebagai contoh, beliau berkata bahawa mereka telah menguji GrabExpress di Bangkok dan Manila dengan perkhidmatan kurier yang menggunakan teksi motosikal.

GrabTaxi (yang menjalankan kedua-dua perkhidmatan MyTeksi dan GrabCar) tidak mempunyai nombor GrabCar tertentu di Malaysia.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata terdapat lebih 170,000 pemandu berdaftar menggunakan platform mudah alih GrabTaxi (termasuk MyTeksi) di Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina.

"Ini meliputi teksi, kereta persendirian dan teksi motosikal," katanya.

Tinjauan SPAD menunjukkan bahawa orang ramai memihak kepada mereka kerana perkhidmatan teksi yang lemah.

Uber, GrabCar, Teksi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain