suria

Bomba Selamatkan Tiga Lelaki Sesat Di Bukit Mor

MUAR: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar berjaya menyelamatkan tiga lelaki dalam keadaan keletihan setelah sesat selama lima jam ketika mendaki Bukit Mor, Parit Jawa, petang Ahad.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Marzuki Ismail berkata pihaknya menerima laporan kehilangan kumpulan lelaki terbabit menerusi panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 7.48 malam semalam.

"Setelah menerima laporan, seramai 12 anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi terbabit bagi melakukan operasi SAR menyelamat mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selain itu, seramai lima anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), lima anggota polis dan penduduk kampung turut membantu operasi tersebut.

"Lelaki tersebut dikenal pasti sebagai Tan Sze Yen, 26; adiknya, Tan Sze Kie, 23 dan Wong Ken Li, ditemui pada pukul 9.02 malam," katanya.

Hasil siasatan awal beliau berkata mangsa Sze Yen dan Sze Kie mendaki bukit terbabit kira-kira pukul 5 petang.

"Kedua adik-beradik terbabit kemudian terjumpa seorang lagi lelaki iaitu Ken Li di atas puncak bukit sama yang turut tersesat," katanya.

Marzuki berkata semua mangsa dalam keadaan baik namun kelihatan sedikit keletihan dan operasi ditamatkan pada pukul 10.16 malam tadi.

Bomba, Bukit Mor

Artikel Berikut

Artikel Lain