suria

Program Penerangan Bahaya Kumpulan IS, Pengganas Kepada Pelajar

Chong Sin Woon.

MUAR: Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam mengadakan program penerangan kepada pelajar tentang bahaya ideologi pengganas dan kumpulan militan IS, kata Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon.

Beliau berkata sudah banyak program penerangan dan bimbingan berbentuk ceramah mengenai kumpulan pengganas yang telah diadakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan lain yang telah diadakan di pelbagai tempat termasuk sekolah.

"Kami akan bersama-sama mereka (PDRM dan pasukan keselamatan lain) bagi membuat persediaan untuk memulakan (program penerangan) di sekolah pada tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pu Nan di Bukit Bakri, di sini Ahad.

Chong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kementerian  bagi membendung pelajar daripada terpengaruh dengan ideologi pengganas khususnya IS.

Terbaru, pada 31 Disember lepas, seorang pelajar Malaysia di Mesir menjadi individu pertama didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang, Selangor atas tuduhan menyokong kumpulan pengganas, al-Qaeda.

Dalam perkembangan lain, Chong meminta ibu bapa kepada pelajar yang menerima buku teks yang rosak agar membuat aduan kepada pihak sekolah atau kementerian bagi membolehkan proses penggantian dilakukan kerana cara itu lebik baik daripada mengadu di laman sosial.

"Pihak kementerian sememangnya akan melakukan proses penggantian buku teks baharu kepada pelajar khususnya jika ia membabitkan helaian muka surat yang hilang atau sudah tidak boleh dibaca," katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Mandarin baru-baru ini berhubung rasa kecewa ibu bapa mengenai buku teks yang diterima anak mereka didapati sudah rosak.

Sementara itu, Chong berkata sebanyak 1,673 guru baharu akan ditempatkan di 1,296 SJKC di seluruh negara bagi menampung kekurangan guru bermula 18 Januari ini.

"Masalah kekurangan guru di SJKC yang berlaku hampir setiap tahun boleh menganggu sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah terbabit," katanya.

Bersempena hari pertama persekolahan bagi sesi 2016 di negeri ini pada Ahad, Chong turut meninjau keadaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Dr Ismail di Bukit Bakri. - BERNAMA



Artikel Lain