suria

Pemandu Bas Ekspres Didakwa Sebabkan Kematian Empat Penumpang

Muhammad Hazil Hakimi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian empat penumpang di Mahkamah Majistret Machang pada Khamis. - fotoBERNAMA

MACHANG: Seorang pemandu bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian empat penumpang di KM124, Batu 14 Jalan Raya Timur Barat Jeli-Gerik pada Jumaat lepas, dihadapkan di Mahkamah Majistret Machang di sini, Khamis.

Muhammad Hazil Hakimi Ahmad Zaki, 26, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias dan minta dibicarakan.

Dia didakwa memandu bas ekspres Syarikat SP Bumi WVW 7689 dari arah Gerik, Perak, ke Jeli, Kelantan, di tempat tersebut dengan cuai sehingga menyebabkan kematian empat penumpang pada pukul 1.30 pagi, 25 Disember lalu.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ainul Wardah Shahidan meminta jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira kepentingan awam kerana menyebabkan empat kematian penumpang.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Alias Ibrahim memberitahu mahkamah keluarga tertuduh hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000 kerana kurang berkemampuan.

Amal Razim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, digantung lesen memandu serta ditahan pasportnya.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi Jumaat lepas, bas ekspres yang membawa 30 penumpang dari Taiping, Perak menuju ke Kuala Terengganu, Terengganu hilang kawalan sebelum terbabas dan bergesel dengan sebuah treler muatan papan lapis hingga menyebabkan empat penumpang maut.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Hasiah Osman, 57, dan anaknya, Muhammad Amir Abdul Rahim, 19, berasal dari Pulau Pinang serta Nur Afiqah Alimi Mohd Ali, 19, dan Muhammad Syafiq Azrul Azmi, 25, masing-masing dari Kuala Terengganu, Terengganu. - BERNAMA

pemandu bas ekspres, kematian

Artikel Lain