suria

Dr Hasan Mad Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu

Dr Sahol Hamid Abu Bakar (kiri) menyerahkan surat perlantikan penyandang kursi Raja-Raja Melayu Dr Hasan Mad di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM pada Rabu. Foto: Bernama

SHAH ALAM: Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, dilantik sebagai penyandang pertama Kursi Institusi Raja-raja Melayu (Kursi) Universiti Teknologi MARA (UiTM). 

Beliau akan menjalankan tugas tersebut bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Januari ini. 

Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar di sini, Rabu.

Dr Hasan merupakan bekas pensyarah di Universiti Putra Malaysia dan sering terlibat dalam pelbagai aktiviti memperjuangkan agenda bangsa Melayu dan Institusi Raja-raja Malayu. 

Sementara itu, Dr Sahol Hamid dalam ucapannya berkata, penubuhan Kursi itu merupakan pendekatan UiTM dalam memartabat dan memperkasakan Institusi Raja-raja Melayu di negara ini.

Beliau berkata Kursi itu turut diwujudkan bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat dengan jelas dan tepat berkaitan Institusi Raja-raja Melayu.

"Pada 2014, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah bertitah, rakyat tidak diberi kefahaman akan fungsi sebenar Sultan dan beranggapan Institusi Raja adalah sebagai lambang sahaja tanpa mempunyai peranan dan kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.  

"Dengan adanya Kursi ini, ahli akademik mahupun para penyelidik dapat menjalankan kajian secara ilmiah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kedudukan institusi raja di negara ini," katanya.-Bernama

Artikel Lain