suria

Pembukaan,Pengambilan Tanah Punca Fenomena Air Merah Di Kuantan

KUANTAN: Fenomena air sungai dan laut menjadi merah di sini pada Selasa berpunca daripada kegiatan pembukaan dan pengambilan tanah, yang kemudiannya dihanyutkan larian air akibat hujan lebat beberapa hari lepas. 

Penolong Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Zainal Abidin Abdullah berkata ia menjadi serius apabila larian air di permukaan tanah turut bercampur dengan mineral bauksit di jalan raya, yang tumpah semasa proses pengangkutan dilakukan menyebabkan fenomena itu berlaku. 

"Jumlah air yang banyak semasa hujan lebat turut menyebabkan mendapan didalam sungai berkocak dan bercampur pula dengan yang air bercampur bauksit yang dibawa larian air. 

"Semua bahan ini kemudian dibawa ke sungai sebelum mengalir ke laut dan kuantitinya yang banyak menyebabkan fenomena sungai dan lautan merah berlaku,"katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, Rabu.

Sebagai contoh, katanya, pengambilan tanah di Bukit Goh akan mengalir ke Sungai Kuantan dan aktiviti serupa di sekitar Beserah akandibawa air ke Sungai Balok, Sungai Karang di sini.

Zainal Abidin berkata keadaan itu akan kembali normal tidak lama lagi, namun ia bergantung kepada pasang surut air laut.  

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Adnan Hussain menasihati orang ramai supaya tidak memakan makanan laut dan kerang-kerangan dari kawasan yang terlibat. 

Beliau berkata pegawai jabatan itu telah mengambil sampel di kawasan terlibat hari ini bagi tujuan analisis makmal untuk memastikan tahap keselamatan hasil laut di kawasan itu. 

"Keputusan ujian analisis dijangka dapat diketahui dalam tempoh dua minggu. Sementara itu, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak makan kerang-kerangan dari kawasan itu sehinggalah hasil kajian diperoleh," katanya.  

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti memancing di kawasan itu berdasarkan tahap kekeruhan air yang tinggi sekarang.

Adnan juga berkata jabatan itu pernah melakukan kajian kandungan logam berat terhadap sampel ikan di kawasan berkenaan semasa kejadian sungai dan laut merah sebelum ini, dan mendapati kandungan logam berat tidak berbahaya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak berkata kerajaan negeri telah mengambil sampel di sungai yang mengalami fenomena itu bagi mengenal pasti punca kejadian.  

Beliau berkata siasatan melibatkan pelbagai agensi juga akan dilakukan bagi memastikan kejadian ini tidak berulang pada masa depan.

Selain berfungsi sebagai pusat pelancongan, Sungai Balok dan Pantai Batu Hitam juga menjadi punca pendapatan nelayan.  

"Kita perlu melakukan siasatan. Bukan menuduh mana-mana pihak. Sungai Balok misalnya melibatkan kawasan yang luas dan ada aktiviti pembangunan dan perlombongan yang berlaku berhampiran sungai. 

"Lebih baik dipastikan puncanya supaya tindakan dapat dilakukan. Hasil siasatan ini akan dibentangkan pada mesyuarat kerajaan negeri kelak," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan itu di jeti nelayan Sungai Balok di sini, Rabu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pulaberkata setakat ini, pihaknya tidak menerima kes berkaitan perubahan warnaair sungai dan laut itu.-Bernama

Air sungai merah, kuantan

Artikel Lain