suria

Najib Ziarah Bekas Pengurus Besar Bernama

Najib Tun Razak memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Amy.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat meluangkan masa menziarahi bekas Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong yang kehilangan isterinya pada Rabu lepas. 

Najib, yang berada kira-kira setengah jam untuk mengucapkan takziah kepada Yong, 61, yang kehilangan isterinya, Datin Amy Bok Soon Boey, turut memberi kata-kata semangat untuk beliau terus tabah meneruskan kehidupan.

"Saya pun tidak sangka perdana menteri datang ke rumah kami kerana disebalik kesibukan jadual, beliau mengambil kesempatan untuk mengunjungi saya dan memberi penghormatan kepada isteri saya.

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada perdana menteri kerana datang dalam tempoh yang memang kami sedang bersedih ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas kunjungan Najib ke kediamannya di Wangsa Maju, di sini.

Amy, 67, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, dekat sini Rabu lalu selepas menderita sakit dalam tempoh yang lama.

Upacara pengebumian akan diadakan pada pukul 9 pagi Ahad dan perarakan pengebumian berlepas ke Pusat Memorial Nirvana di Seksyen 21 Shah Alam untuk upacara pembakaran mayat.

Dalam kunjungan singkat Najib itu, Yong yang bersara daripada Bernama pada Oktober tahun lepas, turut terharu dengan ungkapan "You have done a good job while at Bernama" yang dinyatakan perdana menteri kepadanya.

"Saya mula mengenali perdana menteri sejak 2009 iaitu ketika saya menjawat jawatan Ketua Pengarang Bernama apabila saya banyak terlibat untuk membuat liputan acara perdana menteri," katanya.

Menceritakan tentang mendiang isterinya, Yong berkata Amy adalah seorang isteri yang penyayang dan penyabar serta amat memahami kerjayanya semasa berkhidmat di Bernama.

Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Mokhtar Hussain dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Mikhail Raj Abdullah.-Bernama

Datuk Seri Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain