suria

Maulidur Rasul Kali Kedua Tahun Ini Disambut Dengan Semangat Kesatuan

Sebahagian daripada kira-kira 12 ribu perserta perarakan sambutan Maulidur Rasul 1437H Peringkat Kebangsaan bertemakan 'Perpaduan Nadi Tranformasi Negara' di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Khamis. Barisan hadapan berbaju hijau daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan di belakang mereka daripada Kumpulan CIMB. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sambutan Maulidur Rasul kali kedua tahun ini disambut dengan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam selaras dengan tema tahun ini 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'.

Sambutan peringkat nasional yang pertama kali diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini turut dipenuhi acara bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah SAW.

Acara bermula dengan perarakan berserta selawat pada 8.15 pagi ini yang disertai 125 kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Seramai 11,000 umat Islam termasuk barisan kenamaan mengambil bahagian dalam perarakan sejauh 1.8 km bermula dari pintu masuk hadapan MAEPS sehingga ke Dewan A taman itu, dan diikuti dengan bacaan ayat suci al-Quran dan ceramah  khas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta perwakilan luar negara.

Tuanku Abdul Halim dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menekankan akan pentingnya aspek perpaduan yang sedia wujud di negara ini dipertahankan, kerana persefahaman dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat adalah tunjang kepada kemakmuran negara.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dipilih sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015.

Maulidur Rasul, kesatuan

Artikel Lain