suria

Bekas Mufti WP Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada Datuk Wan Zahidi Wan Teh, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (kanan) pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1437H/2015M peringkat kebangsaan yang bertemakan 'Perpaduan Nadi Tranformasi Negara' di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Khamis. -fotoBERNAMA
SERDANG: Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dinobat sebagai penerima Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 1437 Hijrah/2015.

Beliau menerima RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Wan Zahidi, 73, anak kelahiran Gerik, Perak, berkata hanya perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan bangsa akan menjamin keamanan dan keselamatan yang dikecapi sehingga hari ini.

"Perpaduan merupakan nadi pembangunan seperti langkah awal Nabi Muhammad SAW menubuhkan kerajaan Madinah dengan menyatukan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

"Alhamdulillah, keamanan dan keselamatan wujud di Malaysia. Namun perlu berhati-bati kerana terdapat pelbagai anasir yang cuba memporakperandakan kita.
Kalau tidak berhati-hati, apa yang dicapai akan tercicir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, Khamis.

Selain itu, lapan lagi individu turut menerima Anugerah Maulidur Rasul dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi dan sijil penghargaan.

Mereka ialah Datin Prof Madya Dr Paizah Ismail, Datuk Baharuddin Abu Kassim, Prof Dr Che Muhaya Mohamad, Othmad Md Yusoff, Ebit Irawan Ibrahim Yew, Dr Mundzir Abdullah, Nurul Eeman Mansor dan Mithun Jay Langgim.

Nurul Eeman, 17, calon termuda menerima anugerah itu yang aktif dalam kegiatan sukarelawan berkata beliau akan menjadi contoh kepada rakan-rakan dan generasi muda menunjukkan cara pemikiran dan melakukan kerja dengan cepat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan saya memikul tanggungjawab yang besar mendapat anugerah ini. Saya berharap akan menggunakan penghargaan ini ke arah kebaikan dan membawa manfaat kepada negara," katanya kepada pemberita.

Mithun Jay Langgim, yang menggunakan kepakaran sebagai jurulatih pendakian menyelamatkan 137 pendaki ketika kejadian gempa bumi di Ranau, Kota Kinabalu berasa terharu dengan penghargaan ini.

Beliau berkata ia merupakan tanggungjawab besar kepada masyarakat dan berharap menjadi contoh kepada generasi akan datang.

Dr Mundzir, 24, juga melahirkan penghargaan kepada kerajaan serta berharap pemilihannya sebagai satu inspirasi kepada umat Islam untuk belajar bidang sains khususnya Fizik dan memberi sumbangan kepada umat Islam dan negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain