suria

Tukang Cuci Terkorban Dalam Letupan Di Lapangan Terbang Istanbul

ISTANBUL: Seorang tukang cuci wanita terbunuh dan seorang lagi cedera selepas berlaku satu letupan bersebelahan kapal terbang di lapangan terbang antarabangsa kedua di Istanbul.

Susulan kejadian, Turki diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk kemungkinan berlakunya serangan.

Tukang cuci lapangan terbang itu, Zehra Yamac, 30, meninggal dunia akibat cedera di kepala beberapa jam selepas letupan awal pagi di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), lapor agensi berita negeri, Anatolia.

Letupan itu berlaku di luar bangunan terminal di mana pesawat diparkir untuk menurunkan penumpang yang baru tiba dan membawa penumpang yang mahu terbang.

Penerbangan swasta Turki Pegasus Airlines dalam satu kenyataan berkata letupan itu berlaku di sebelah salah sebuah pesawatnya yang berada di landasan, manakala dua tukang cuci sedang berada dekat dengan pesawat.

"Tidak ada penumpang sama ada di atas kapal terbang atau di atas tangga. Lapangan terbang Sabiha Gokcen meneruskan operasinya seperti biasa," kata Pegasus.

Mangsa yang cedera, juga seorang tukang cuci, mengalami kecederaan di kaki.

Yamac dimasukkan ke hospital tetapi meninggal dunia akibat kecederaan walaupun kakitangan perubatan telah berusaha sedaya upaya menyelamatkannya, menurut Anatolia.

Artikel Sebelum

Perjalanan Mewah Ke Madinah

Artikel Lain