suria

Perjalanan Mewah Ke Madinah

ASSALAMUALAIKUM. Setelah selesai menyempurnakan tawaf wada’ bersama-sama jemaah yang tertangguh urusan ibadat hajinya, saya dan jemaah itu, Noor Baya, bersiap sedia untuk berangkat ke Madinah Munawarah pada 7 Oktober 2015.

Tawaf wada’ mengambil masa kira-kira satu jam di dataran Kaabah. Jemaah haji masih lagi membanjiri Masjidil Haram walaupun tidaklah seramai ketika kemuncak ibadat haji. Pada jam 10.30 pagi saya dan Noor Baya tiba di Hotel Golden Ajyad dan terus naik ke bilik untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Hajah Naaimah.

“Kak, terima kasih kerana sudi tumpangkan kami di hotel ini untuk tiga malam,” ujar saya.

“Emm. Tak mengapa. Ana pergi Madinah dengan siapa nanti?” tanya beliau.

‘InsyaAllah, Haji Zaki dah aturkan. Dia cakap kawan dia akan sampai selepas Ana hubungi. Dia suruh anak hubungi kawan dia selepas selesai tawaf wada,” balas saya.

“Baiklah. Sampaikan salam pada Rasulullah,” pintanya. Beliau tidak ziarah ke Madinah kerana tuntutan tugas di tanah air dan perlu segera pulang.

“InsyaAllah kak. Terima kasih,”  balas saya pula.

Noor Baya turut bersalam dan mengucapkan terima kasih kepada beliau sebelum kami meninggalkan paras tujuh hotel berkenaan.

Tiba di lobi hotel, saya terus menghubungi rakan Haji Zaki yang dikenali sebagai Maher untuk menyatakan sudah selesai tawaf wada’ dan minta dia menjemput saya dan Noor Baya di Hotel Golden Ajyad.

“Assalamualaikum Haji Maher. 

“Waalaikumsalam,” balas beliau.

“Saya Raihanah mahu ke Madinah dan diminta hubungi dengan haji,” ujar saya.

“Baiklah. Ye saya tahu. Sudah selesai tawaf wada’ ke?” tanya beliau.

“Sudah. Alhamdulillah,” Jam berapa haji boleh jemput kami ke Madinah?” tanya saya.

“Baiklah, sekejap lagi saya sampai, insya Allah dalam jam 11 pagi,” balas beliau.

“Terima kasih, saya tunggu di luar lobi saja,” kata saya lagi.

Tidak sampai 10 minit beliau tiba dengan sebuah kenderaan serba mewah berwarna putih.

Beliau memperlahankan kenderaan dan bertanya: “Hajah Raihanah?” 

“Betul, saya Raihanah,” balas saya tersenyum lebar melihat GMC di depan mata.

Beliau turun seketika dan membantu saya serta Noor Baya meletakkan beg kami di dalam kenderaan.

“Hanya kami berdua saja ke Madinah?” tanya saya.

“Ye. Hanya hajah berdua,” balas Haji Maher.

“Wah macam perempuan kaya kita, hanya kita berdua sahaja ni Baya,” ujar saya tertawa kecil dengan Noor Baya.

“Alhamdulillah. Rezeki kita,” balas beliau pula.

Dalam jarak 200 meter tiba-tiba Haji Maher memberhentikan kenderaan itu dan berdiri di pinggir jalan adalah Haji Zaki yang sedang menunggu ketibaan kami berdua untuk menyerahkan pasport.

“Terima kasih Zaki. Kakak pergi dulu ye. Awak nampak penat,” ujar saya.

“Semalam baru sampai dari Madinah kak. Masih penat lagi. Semoga selamat,” kata Haji Zaki tersenyum.

GMC putih meluncur laju. Saya dan Noor Baya menikmati pemandangan di kiri kanan jalan. Sesekali saya memerhatikan Maher yang memandu begitu cermat dan berhemah. Dia tidak sekali pun menggunakan telefon bimbit sebagaimana yang sering saya lihat di kalangan pemandu kenderaan di Tanah Suci yang kadangkala asyik dengan telefon.

Di tangan hanya ada tasbih dan beliau berzikir sepanjang perjalanan itu. Bapa kepada lima cahaya mata dan beristerikan wanita berbangsa Arab itu lahir di Tanah Suci Makkah tetapi ibu bapanya berasal dari Patani.

Dia tidak banyak berbicara kecuali ditanya. Selain fasih berbahasa Arab, beliau juga mampu bercakap dalam bahasa Melayu walaupun agak pelat namun ia masih boleh difahami.

Tidak sampai satu jam meninggalkan hotel di Makkah, Maher berhenti di sebuah restoran yang bernama Kholood yang terletak di Al Madina Road-Al Umrah.  Sejurus saya dan Noor Baya turun dari kenderaan, semua mata di depan kami memerhati. Kami mengikut saja Maher masuk ke dalam restoran itu.

“Kakak hendak makan apa?” tanya Maher.

“Ada apa di sini Maher?” soal saya tidak menjawab soalan terdahulu.“Ada kebab. Ada sandwic,” balas Maher.

Saya dan Noor Baya mahukan kebab.

“Kakak nak jus?” tanya Maher lagi.

“Bolehlah,” balas saya.

Maher memesan tiga oren jus yang diperah terus dari alat pemerah. Kelihatan sungguh segar. Saya memerhati sekeliling. Restoran itu sungguh bersih dan teratur rapi. Tiada seorang wanita pun di dalamnya. Semua lelaki berjubah.

Sudah menjadi kelaziman, wanita Arab sukar dilihat di restoran pada sebelah siang apatah lagi bersendirian atau secara berkumpulan dengan rakan-rakan perempuan. Mereka selalunya bersama-sama bapa, suami atau adik-beradik lelaki apabila keluar dari rumah.

Maher seolah-olah sudah mengenali peniaga dan tukang masak di restoran itu, malah mereka juga melayannya seperti sudah lama mengenalinya.

Setelah kebab dan oren diperoleh, kami menaiki kenderaan semula untuk meneruskan perjalanan ke Madinah. Saya dan Noor Baya makan di dalam kenderaan tetapi Maher tidak pula makan. Dia terus memandu penuh berhemah dan sesekali menghirup jus oren.

“Emm, sedapnya kebab ni Maher,” ujar saya.

“Alhamdulillah,” balas Maher tertawa kecil.

“Rasanya lain dari yang pernah saya makan di kedai-kedai sekitar Masjidil Haram,” sambung saya.

“Ye lain sekali,” balas Maher ringkas.

“Berapa riyal satu?” tanya saya.

“SR6 satu,” balas Maher lagi.

“Oklah. Puas hati sebab sedap. Terasa rempah ratusnya,” balas saya pula. Kelihatan Maher tersenyum terus.

Pada kira-kira jam 1.30 tengah hari, Maher memberhentikan lagi kenderaan yang dipandu berhampiran sebuah masjid.

“Kita berhenti di sini dulu untuk solat,” ujar Maher.

“Baiklah,” balas saya.

“Ada tandas dan musolla wanita juga,” kata Maher.

Saya dan Noor Baya menuju ke tandas dan ruang solat wanita untuk menunaikan solat Zuhur dan qasar solat Asar. Alhamdulillah, selesai solat kami masuk semula ke dalam GMC. Maher sudah sedia menunggu kami di dalam kenderaan.

“Kakak mahu duduk di ruang belakang satu lagi ke? Boleh tidur,” tanya Maher.


“Tak mengapalah Maher. Boleh tidur duduk sahaja,” balas saya.

Kenderaan itu cukup besar untuk memuatkan lapan orang tetapi kami bertuah kerana berpeluang menaikinya berdua sahaja.  Alhamdulillah. Maher terus meluncur kenderaan itu dan tidak lagi berhenti. Kami tiba di depan Shourfah New Hotel tepat jam 4 petang dan melihat bebondong-bondong jemaah pulang dari Masjid Nabawi setelah menunaikan solat Asar.

Sejurus tiba di lobi hotel, saya terus menghubungi Haji Aminuddin untuk memaklumkan ketibaan saya dan Noor Baya.

“Kak Ana di lobi sekarang ni,” ujar saya ringkas.

“Baiklah kak. Tunggu sekejap,” balas Haji Aminuddin.

Tidak sampai 10 minit kelihatan Haji Aminuddin berkopiah dan berjubah putih menemui kami di lobi hotel. Beliau lantas menghulurkan wang kepada Maher dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Saya dan Noor Baya turut mengucapkan terima kasih kepada beliau.

“Alhamdulillah, perjalanan kami lancar tadi. Maher cermat memandu,” kata saya kepada Haji Aminuddin.

“Alhamdulillah. Kak Ana dan Baya duduk di tingkat 9 ye nanti. Beg besar kami dah hantar ke situ,” ujar Haji Aminuddin

“Terima kasih,” balas saya dan terus menuju ke lif.

Tidak sabar hendak masuk ke dalam bilik, membersihkan diri dan bertukar pakaian untuk masuk ke dalam Masjid Nabawi. Alhmdulillah, Maghrib dan Isyak saya bersolat di dalam Masjid Nabawi bersama-sama Noor Baya.

Selesai solat Isyak, balik semula ke hotel untuk makan malam. Di dewan makan, berjumpa semula rakan-rakan jemaah yang lain. Kami gembira dan saling berpelukan bertanya khabar berita. Ramai yang mengatakan kami beruntung dapat lebih lama di Makkah untuk meneruskan ibadat.

“Alhamdulillah…” ringkas sahaja jawapan saya kepada mereka.

Esoknya, saya menziarahi makam Rasulullah dan Raudah. Justeru, selesai solat Subuh saya tidak pulang ke hotel tetapi membeli makanan di sekitar Masjid Nabawi untuk bersarapan dan seterusnya masuk semula ke dalam masjid bagi menziarahi makam serta memasuki Raudah.

Ikuti catatan lanjut saya di Madinah pada minggu akan datang, insyaAllah.

Artikel Lain