suria

YPM Tawar Peluang Lanjutkan Pengajian Tinggi Di Jepun

PETALING JAYA: Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kini membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda menerusi Program Pengajian Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP).

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, permohonan melalui atas talian kini menyasarkan 150 pelajar yang memenuhi syarat kelayakan.

"Pelajar disyaratkan untuk mengisi keputusan percubaan SPM 2014 sebelum dipertimbangan untuk panggilan sesi temuduga yang akan diadakan pada Januari 2016.

"Tarikh tutup permohonan adalah pada 27 Disember 2015," katanya.

Kata Abdul Karim lagi, bagi yang berjaya ditawarkan akan mengikuti kursus intensif bahasa yang dikenali sebagai ‘Selangkah Lagi Ke Jepun’ Siri 2 2016 pada awal 2016 sebelum menerima tawaran pengambilan pelajar baru MJHEP kumpulan 6.

MJHEP oleh YPM adalah program penajaan biasiswa untuk pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran di universiti Jepun hasil idea Dasar Pandang Ke Timur.

YPM adalah agensi pendidikan Mara yang dipertanggungjawabkan untuk pelaksanaan MJHEP menyasarkan penajaan 800  pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di 22 universiti terpilih di Jepun. 

Pelajar yang terpilih untuk penajaan biasiswa YPM akan mengikuti pengajian diploma Kejuruteraan Mekanikal atau Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik selama 3 tahun di Mara Japan Industrial Institute Beranang, Selangor (MJII Beranang).

Pengajian diploma MJHEP di MJII diletakkan di bawah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) adalah meliputi persediaan bahasa Jepun dan juga subjek-subjek kejuruteraan yang diajar sepenuhnya dalam Bahasa Jepun. 

Seterusnya pelajar-pelajar akan  meneruskan pengajian peringkah Ijazah Sarjana Muda di Jepun sebagai pelajar Tahun 3 dan 4 sebelum dianugerah Ijazah Sarjana Muda oleh universiti masing-masing. 

Pengajian 3 + 2 ini adalah satu-satunya program di luar Jepun yang dikendalikan sepenuhnya oleh YPM dengan kerjasama UniKL dan kumpulan Universiti Jepun.

Untuk keterangan lanjut sila layari laman rasmi MJHEP di http:www.jadypm.edu.my. 



YPM, Jepun, MJHEP, Abdul Karim Mustafa

Artikel Berikut

Artikel Lain