suria

Polis Tahan Suspek Bakar Kereta Di Taman Jaya

PETALING JAYA: Gara-gara marah dan cemburu, seorang lelaki bertindak membaling botol berisi petrol yang dinyalakan api ke arah kereta teman lelaki isterinya.

Kebakaran yang berlaku, ditambah dengan kepulan asap hitam tebal di udara menyebabkan kecoh di media sosial bahawa berlakunya kejadian letupan bom.

Tindakan bodoh lelaki itu telah mengheretnya kepada tindakan undang-undang.

Polis telah menahan suspek, berusia pertengahan 20-an, yang sedang berada berhampiran stesen LRT Taman Jaya lewat malam Isnin.

Dia dijangka ditahan reman pada Selasa untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din sebelum ini berkata teman lelaki wanita itu yang juga berusia lingkungan 20-an sedang berjalan menuju keretanya apabila suaminya muncul dengan motosikal dan mendekatinya.

Teman lelakinya itu menyedari bahawa lelaki itu mahu membaling botol itu pada kereta mangsa yang pada ketika itu pintunya sedang terbuka.

Dia bagaimanapun berjaya keluar dari kereta sebelum kereta terbakar.

Lelaki itu segera beredar dari situ, meninggalkan selipar dan topi keledarnya.

Api merebak dengan cepat ke arah lima buah kereta lain yang berdekatan, kata Mohd Zani sambil menambah tiga letupan kuat juga didengari.

Letupan itu pada mulanya mencetuskan khabar angin bahawa berlakunya kejadian letupan bom dan gambar-gambar kebakaran tersebar di WhatsApp.

Polis kemudian menafikan khabar angin itu, membuat penjelasan ia bukanlah kejadian letupan bom.

Empat buah kereta rosak teruk dalam kejadian itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain