suria

Kabinet Mahu Keselamatan Di Kawasan Air Terjun Diberi Perhatian - Rohani

PUTRAJAYA: Kabinet pada Selasa mahu keselamatan di kawasan rekreasi terutama yang mempunyai air terjun diberi perhatian serius bagi mengelak kejadian tidak diingini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata, jemaah menteri memberi perhatian terhadap isu keselamatan di kawasan rekreasi susulan tragedi meragut nyawa lima sekeluarga di Air Terjun Belukar Bukit, Hulu Terengganu, Sabtu lepas. 

"Perlu letak amaran (di kawasan air terjun)...'di sini air deras' atau pastikan pengunjung tidak pergi ke tempat lebih dalam," katanya kepada pemberita pada sesi kupasan pencapaian kementerian dan agensi sepanjang 2015 di sini, Selasa.

Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, Rohani turut mengingatkan semua pihak agar mengambil iktibar daripada kejadian menyayat hati itu dan memastikan ciri keselamatan di kawasan tumpuan ramai dipertingkatkan. 

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, pemilik syarikat kejuruteraan, Mohd Halim Samian, 44, isterinya Nurul Adilah@Salaiwati Awang, 39, serta tiga anaknya Nurul Arifah, 16, Nurul Hidayah Aina, 11, serta Nurul Izah, 10, meninggal dunia akibat lemas ketika mandi di Air Terjun Belukar Bukit. 

Hanya seorang anggota keluarga berkenaan yang tinggal di Puncak Alam, Selangor selamat iaitu Mohd Hasif berusia sembilan tahun. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain