suria

Nahas Chiang Mai: Ahli Keluarga Tunggu Maklumat Terkini

Antara sebahagian ahli keluarga mangsa yang hadir di pejabat Agensi Pelancongan Chiu Travel Sdn Bhd sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk mengenalpasti ahli keluarga mereka yang terlibat dalam kemalangan di Chiang Mai. -fotoBERNAMA

BATU PAHAT: Ahli keluarga dan rakan mangsa nahas bas di Chiang Mai masih menunggu maklumat terkini mengenai nasib orang tersayang mereka daripada pihak berkuasa.

Salah seorang saudara mangsa nahas, Goh Kim Yue, 65, berkata dia hanya mengetahui apa yang menimpa kakak iparnya menerusi Internet.

"Mimpi ngeri kami bertukar realiti apabila ejen pelancongan memaklumkan mengenai insiden itu kira-kira pukul 9 malam Ahad.

"Mereka memaklumkan kami supaya datang kepada pejabat dan akan membawa kami ke Thailand. Namun saya berdoa agar ahli keluarga saya berada dalam keadaan baik. Buat masa ini, kami tidak pasti," katanya.

Adik ipar kepada seorang mangsa lelaki yang enggan namanya didedahkan berkata dia mengetahui kemalangan itu menerusi berita dan segera menghubungi agensi pelancongan terbabit.


"Saya juga telah menghubungi beberapa rakan daripada pihak berkuasa Thai tetapi mereka hanya mengesahkan abang ibar saya tiada dalam senarai yang maut.

"Kakak saya masih tidak mengetahui perkara ini kerana kami takut untuk memberitahunya. Kami masih menunggu lebih banyak maklumat," katanya.

Ejen pelancongan tersebut telah menerima senarai mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut daripada pihak berkuasa Thai.

Mereka yang maut termasuk ketua kumpulan rombongan itu, Png Ee Ting, 23; Tan Thin Thin, 39; Ong Chui Hoe, 53; Tan Sui Heng, 54; Ker Ah Hwee, 56; Chua Ah Kim, 56; Teng Kian Min, 57; Ker Bong Ngwang, 57; Ong Chai Hong, 58; Wong Yoke Ying, 58; Ong Pek Ming, 61; Lum See Seng, 63 dan Low Chee Lan, 85.

Manakala mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Tan Yang Soon, Ker Shin Hui, Goh Bak Chai, Ng Too Hyiok, Lum Jia Miem, Lim Ah Gek, Lee Siew Kim, Teo Tien Chor dan Lim Guat Huay.

Antara yang maut adalah pasangan suami isteri, Ker Bong Ngwang dan Tan Sui Heng yang menemani anak perempuannya Ker Shin Hui yang dipercayai terselamat dalam insiden itu.

Seorang jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata keluarga tersebut sekali-sekala akan pergi melancong bersama-sama.











nahas, Chiang Mai

Artikel Lain