suria

Nahas Chiang Mai: Empat Daripada Enam Sekeluarga Antara Yang Maut

22 warga Malaysia disahkan maut dalam kemalangan di Chiang Mai.

BATU PAHAT: Enam sekeluarga antara mangsa yang terbabit dalam nahas bas di Chiang Mai dengan empat daripadanya meninggal dunia termasuk seorang warga emas berusia 85 tahun.

Low Chee Lan sedang bercuti di Chiang Mai bersama anak lelaki keduanya, Tan Yang Soon, 64, dan keluarga anak bongsunya, Tan Sui Heng apabila bas yang disewa mereka merempuh kenderaan lain sebelum melanggar tiang elektrik dan terjunam ke dalam gaung pada Ahad.

Yang Soon terselamat dalam insiden itu tetapi anak perempuan sulungnya, Tan Thin Thin, 39, tidak bernasib baik.

Adik perempuannya, Sui Heng dan suami, Ker Boon Kwang, 57, antara yang maut tetapi anak perempuan mereka, Ker Shin Hui, 28, hanya mengalami kecederaan.

Adik ipar Yan Soon, Lim Poh Teot berkata dua anak lelaki mangsa berlepas ke Chiang Mai, awal pagi Isnin selepas mengetahui mengenai insiden itu pada petang Ahad.

"Kami semua dalam keadaan terkejut. Kakak saya (isteri Yang Soon) khususnya sangat beremosi sekarang.

"Dua anak lelakinya dijangka tiba di Thailand malam ini, jadi kami sedang menunggu perkembangan terkini dari mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini Isnin.

Sementara itu, Pengurus Besar Agensi Pelancongan Chiu, Terence Yung berkata kesemua 22 mangsa dari Malaysia itu akan menerima pampasan insurans berjumlah RM100,000 setiap seorang.

Menurut beliau, syarikat tersebut sedang berurusan dengan syarikat insurans bagi membantu mangsa dan keluarga terdekat mereka.

"Sebelum mereka pergi ke Chiang Mai pada 17 Disember, mereka sudah mengambil insurans perjalanan kerana ia penting, ia juga satu perkara biasa bagi syarikat pelancongan kami," katanya.

nahas, Chiang Mai

Artikel Lain